Connect with us

Terkini

Agong Berkenan Kurnia Pembebasan Awal Kepada 13 Banduan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan pembebasan awal kepada 13 banduan di beberapa penjara di Malaysia bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 hari ini.



Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata banduan-banduan tersebut telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat pada 28 Dis 2001 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, atas pertuduhan menurut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana berperang atau cuba berperang atau menyubahati berperang melawan Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang Dipertua Negeri.

“Perkenan Al-Sultan Abdullah ini dibuat menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan susulan daripada nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Kesemua 13 banduan yang dihukum menjalani hukuman penjara sepanjang hayat sejak 2001 ini telah membuat rayuan pengampunan terhadap hukuman tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisement

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah, atas nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam mesyuarat ke-55 yang bersidang pada 4 Sept tahun lepas, telah bertitah perkenan untuk 13 banduan tersebut dibebaskan pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan.

Susulan daripada mesyuarat itu, Al-Sultan Abdullah atas nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam mesyuarat ke-56 yang bersidang pada 24 Julai 2020, telah berkenan mengurniakan pembebasan awal kepada 13 banduan tersebut, berkuat kuasa pada Ogos 2020.

Ahmad Fadil berkata perkenan pembebasan awal itu bertujuan memberi peluang kepada mereka yang menunjukkan kelakuan baik untuk kembali ke pangkuan masyarakat serta kehidupan normal dan menjadi insan yang lebih baik

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar kesemua 13 banduan mengenang kembali kesilapan, terus memohon keampunan dan menilai sejauh mana hubungan mereka dengan Tuhan dan keluarga serta masyarakat,” katanya.

Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar mereka menjalani kehidupan yang baharu bersama keluarga tersayang dan masyarakat secara berfaedah dan masing-masing memainkan peranan sebagai rakyat yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara, katanya.

Advertisement

– Bernama

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel