Connect with us

Mahkamah

Bekas CEO: 1MDB Buat Pinjaman Lain Ketika Tanggung Hutang RM32 Bilion

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa 1MDB membuat satu lagi pinjaman untuk menyiapkan usaha sama (JV) dengan Aabar Investment PJS meskipun memiliki bon bernilai AS$3 bilion yang dikeluarkan bagi JV itu dan berdepan kemelut hutang serius sebanyak RM32 bilion pada 2014.



Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang memberi keterangan sejak hujung tahun lepas berkata dana pelaburan negara itu bagaimanapun tidak mempunyai pilihan selain membuat pinjaman tersebut kerana perlu mematuhi arahan Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk menyiapkan JV itu sebelum lawatan Putera Mahkota Abu Dhabi.

Saksi berusia 49 tahun itu berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed pada perbicaraan kes rasuah membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB yang dihadapi Najib Razak.

Wan Aizuddin: Sewaktu 1MDB dibebani hutang berjumlah RM32 bilion, adakah ia satu langkah yang bijak untuk membuat pinjaman lain bagi mengelak belian balik?

Advertisement

Shahrol Azral: Jawapan yang mudah ialah kami tidak mempunyai pilihan kerana kami telah menerima arahan yang jelas daripada PMO untuk menyelesaikan JV itu.


Untuk rekod, pilihan belian balik adalah bagi menebus ‘Opsyen Aabar’ semasa pengambilalihan loji kuasa bebas pada 2012 seperti yang dipersetujui antara 1MDB dan Aabar. Penebusan itu dibuat melalui anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited.

Wan Aizuddin: Bagaimana anda tahu arahan itu datangnya daripada PMO?

Shahrol Azral: Terdapat beberapa perkara yang dimaklumkan kepada saya oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan ada juga e-mel daripada setiausaha sulit utama Najib iaitu Allahyarham Azlin Alias yang memperincikan bentuk terakhir JV itu.

Wan Aizuddin: Syarikat sudahpun dibebani hutang berjumlah berbilion dolar tetapi anda masih membuat pinjaman lain?

Advertisement

Shahrol Azral: Ia adalah konsisten dengan arahan PMO dan Jho Low kepada saya itu menyelesaikannya (perjanjian JV)…Dan ia bukan pinjaman lain, ia adalah pembiayaan semula.

Wan Aizuddin: Jadi anda membuat pinjaman lain untuk membiayai pinjaman itu? Adakah ia pada kadar lebih rendah?

Shahrol Azral: Ia dipanggil pembiayaan semula dan ya, secara idealnya, ia adalah pada kadar yang lebih rendah.

Saksi kesembilan itu berkata tidak ada kelulusan daripada lembaga pengarah 1MDB berhubung penggunaan bon bernilai AS$3 bilion yang diperoleh 1MDB untuk membiayai projek pembangunan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai TRX).

Wan Aizuddin: Anda boleh juga mengesahkan bahawa tidak ada kelulusan daripada lembaga pengarah 1MBD berhubung penggunaan bon bernilai AS$3 bilion itu?

Advertisement

Shahrol Azral: Tidak ada kelulusan khas. Namun, ada satu ketika Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir mengemas kini lembaga pengarah berhubung perkara itu dan berkata dana tersebut akan diletakkan di bawah pengurus dana.

Shahrol Azral berkata perjanjian dengan Aabar diteruskan meskipun dibebani hutang yang disebabkan oleh penglibatan Jho Low.

Wan Aizuddin: Anda dengan sengaja dan mengambil bahagian secara aktif untuk menipu 1MDB dengan mengelirukan lembaga pengarahnya, PM (ketika itu) dan kerajaan Malaysia.

Shahrol Azral: Saya tidak bersetuju.

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa penyelewengan dana daripada bon bernilai AS$3 bilion tersebut dilakukan dengan pengetahuan penuh dirinya, bersubahat dengan Jho Low dan sekutunya serta penasihat kewangan 1MDB, Goldman Sachs.

Advertisement

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Bernama

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel