Ku Nan, LHDN Akan Cuba Selesai Saman Cukai Pendapatan RM57.17 juta

Ku Tengku Adnan Mansor dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan cuba untuk menyelesaikan kes saman berhubung cukai pendapatan berjumlah RM57.17 juta yang tidak dibayar bekas menteri Wilayah Persekutuan itu sejak 2012 sehingga 2017.

Timbalan Peguam Cara Hasil yang mewakili LHDN, Dr Hazlina Hussain memaklumkan perkara itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar hari ini.


“Ini adalah tawaran penyelesaian daripada defendan (Tengku Adnan). Oleh itu, kita kena teliti Yang Arif… Kedua-dua pihak berusaha untuk menyelesaikan kes. Oleh kerana kes ini melibatkan isu yang kompleks, menyebabkan pihak-pihak terpaksa mengambil sedikit masa (untuk selesaikan kes),” katanya.

Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan LHDN bagi mendapatkan penghakiman terus terhadap Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan dan permohonannya untuk menggantung prosiding kes saman berkenaan.

Advertisement


Penghakiman terus bermakna mahkamah memutuskan sesuatu kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.

Sementara itu, peguam Tengku Adnan, Rosli Dahlan memohon penangguhan perbicaraan kerana mereka sedang dalam proses menyelesaikan saman tersebut.

“Pihak-pihak terlibat telah mencapai penyelesaian mengenai kuantum tetapi cara penyelesaian masih belum diputuskan,” katanya sambil menambah bahawa perkara itu sedang diusaha untuk diselesaikan.

Namun, Hazlina memberitahu mahkamah bahawa kuantum belum diputuskan oleh LHDN terutama mengenai jumlah penalti.

Hakim menetapkan 23 Sept untuk mendengar permohonan penghakiman terus LHDN serta permohonan Tengku Adnan untuk menangguhkan prosiding.

Advertisement

“Saya bagi dua minggu… jika tiada penyelesaian, saya harus meneruskan kes ini. Kes ini sudah cukup lama,” kata hakim.

Kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman itu pada 24 Julai tahun lepas, setelah mendakwa Tengku Adnan selaku defendan masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

LHDN, dalam tuntutannya, mendakwa sehingga kini Ahli Parlimen Putrajaya itu masih gagal membayar amaun cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35.

Jumlah itu ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).

Oleh itu, plaintif menuntut daripada defendan jumlah RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Advertisement

– Bernama

Malaysian Update

Leave a Comment

Recent Posts

Dua Anggota Polis Maut: Suspek Kes Serang Balai Polis Ulu Tiram Dipercayai Ahli Jemaah Islamiyah – KPN

JOHOR BAHRU, 17 Mei (Bernama) -- Suspek lelaki yang ditembak mati dalam kejadian serangan di… Read More

2 days ago

UiTM: Tiada Perbincangan Dibuka Kepada Bukan Bumiputera – KPT

Kementerian Pendidikan Tinggi dan kerajaan tidak pernah membincangkan atau membenarkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dibuka… Read More

3 days ago

Kes Langgar: Pegawai Kanan Polis Mengaku Tidak Bersalah Bunuh Pelajar

IPOH, 14 Mei (Bernama) -- Seorang pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi… Read More

5 days ago

Jenazah Siti Hawa Mohamad Isa Selamat Dikebumikan, Mangsa Lemas Kereta Terjunam Dalam Tali Air

KEPALA BATAS -- Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam… Read More

1 week ago

Kejam! Suami Bunuh Isteri Yang Didakwanya Malas Masak

Seorang lelaki di Riau, Indonesia tergamak membunuh isterinya sendiri kerana didakwanha malas memasak. Difahamkan juga… Read More

1 week ago

Kes Faisal Halim: Polis Peroleh Cap Jari Suspek, Tunggu Hasil Analisis Cap Jari

Menurut laporan Sinar Harian, beberapa kesan cap jari yang diperoleh di lokasi kejadian simbah asid… Read More

1 week ago