Connect with us

Mahkamah

Goldman Sachs Bebas Tuduhan Urus Niaga Bon 1MDB

KUALA LUMPUR, 4 Sept — Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia daripada pertuduhan berkaitan kes terbitan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai US$6.5 bilion (RM27.2 billion).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud untuk menarik balik semua pertuduhan terhadap bank pelaburan global itu yang berpangkalan di United Kingdom.



“Oleh itu Goldman Sachs International Ltd, Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura) dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan terhadap mereka,” katanya.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Goldman Sachs, sebelum itu meminta mahkamah mengeluarkan perintah melepas dan membebaskan anak guamnya daripada semua pertuduhan.

Advertisement

Pihak pendakwaan tidak membantah permintaan itu.

Pada 24 Feb lalu, Goldman Sachs menerusi wakilnya, Ng Keng Leong, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut.

Pengurusan kes itu ditetapkan hari ini dan sebelum ini, tarikh perbicaraan ditetapkan mulai 9 Nov ini.


Pada Disember 2018, Malaysia memfailkan empat pertuduhan terhadap Goldman Sachs kerana didakwa meninggalkan fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments PJS. Limited (Aabar Limited).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat 1MDB,  Aras 8, Menara IMC, No 8, Jalan Sultan Ismail, di sini antara 19 Mac 2012 dan 11 Nov 2013.

Advertisement

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum menurut Seksyen 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) menganggarkan sekitar AS$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 dan 2014.

Pada 4 Julai lalu, Kementerian Kewangan dilaporkan berkata Goldman Sachs bersetuju membayar US$3.9 bilion (RM16.6 bilion) bagi penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak berkaitan dengan tiga urus niaga bon yang diatur untuk 1MDB.

Kementerian itu berkata penyelesaian itu merangkumi pembayaran tunai US$2.5 bilion (RM10.63 bilion) dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya US$1.4 bilion (RM5.95 bilion) dari segi aset yang berkait dengan hasil yang telah diseleweng melalui tiga urus niaga bon tersebut.

Sementara itu, hakim Mohamed Zaini menetapkan Khamis depan sebagai tarikh pengurusan kes bagi bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa yang berdepan dengan empat pertuduhan sama.

Advertisement

Ng didakwa bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan nota jaminan dan bon milik anak syarikat 1MDB bernilai US$6.5 bilion dengan mengeluarkan fakta material serta mengemukakan pernyataan palsu.

Mahkamah menetapkan tarikh tersebut selepas Masri memaklumkan pihak pendakwaan tidak berhasrat menggugurkan pertuduhan terhadap bekas pegawai bank berusia 47 tahun itu.

Terdahulu, mahkamah menetapkan hari ini sebagai pengurusan kes selanjutnya bagi mendapatkan perkembangan terkini status kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi oleh Ng di US District Court, Eastern District, New York.

Pada Mei tahun lalu, Ng, diwakili peguam bela Datuk Tan Hock Chuan, diekstradisi ke Amerika Syarikat bagi menghadapi pertuduhan jenayah yang dikemukakan oleh DoJ berhubung skandal 1MDB.

— BERNAMA

Advertisement

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel