Connect with us

Terkini

Putra Lapor SPRM Skandal Pemberian Tanah Seluas 1,200 Hektar Di Perak

IPOH – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemberian tanah seluas 1,200 hektar di negeri Perak untuk pembangunan ladang hutan yang didakwa mempunyai unsur penyalahgunaan kuasa.



Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata laporan itu dibuat susulan tular surat bertajuk ‘surat karam’ di media sosial memaparkan beberapa projek penerokaan hutan melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri.

“Yang dimaklumkan kepada saya ini ada tiga kelulusan melibatkan 1,200 hektar tapi saya difahamkan banyak lagi kelulusan yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk pembangunan ladang hutan kepada individu-individu berkepentingan.

“Apa yang kita nampak ia (pembangunan ladang hutan) bertujuan untuk mengambil kayu-kayu balak dan perkara ini akan melibatkan masalah alam sekitar terutama di Hutan Simpan Kledang Saiyong yang diketahui merupakan tempat simpanan tadahan air,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Pejabat SPRM Perak, di sini hari ini.

Advertisement

Selain itu, beliau berkata, skandal itu turut melibatkan pemberian tanah seluas 301.9 hektar secara rundingan terus kepada sebuah syarikat untuk menjalankan projek ladang rakyat di Ulu Piah, Tambun pada April 2019.

Tambah Hamidah pemberian itu menimbulkan pelbagai persoalan memandangkan syarikat yang ditubuhkan sekitar Ogos 2018 itu langsung tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan projek berkenaan.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi berkata pihaknya telah menerima laporan yang dibuat oleh Putra dan akan membuat siasatan rapi.

Sementara itu Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan beliau sedia bekerjasama dengan pihak SPRM berhubung perkara itu, selaras dengan prinsip pentadbiran kerajaan negeri Perak yang sentiasa menekankan kepada kedaulatan undang-undang.

“Saya mengambil maklum mengenai laporan berhubung beberapa dakwaan yang terkandung dalam surat layang yang tersebar di media sosial baru-baru ini. Saya secara peribadi sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak SPRM dalam menjalankan siasatan ke atas laporan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Advertisement

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung aduan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak agar tidak mengulas lanjut, dan memberikan ruang bagi siasatan dijalankan secara telus serta profesional.

“SPRM telah menerima aduan daripada Putra di Ipoh hari ini berhubung isu skandal tanah di Perak susulan tersebar surat bertajuk ‘Surat Karam’ di media sosial baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

— BERNAMA

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel