Connect with us

Mahkamah

Penyelewengan SRC Kes Rasuah Paling Teruk, Kata Hakim

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menyifatkan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapi Datuk Seri Najib Razak adalah kesalahan salah guna kedudukan, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram yang paling teruk.



Mohd Nazlan yang mensabitkan Najib terhadap semua tujuh tuduhan dan memerintahkan bekas perdana menteri itu dipenjara 12 tahun, dan didenda RM210 juta, berkata ia bukan sahaja disebabkan oleh alasan bagaimana jenayah itu dilakukan, malah kes berprofil tinggi berkenaan turut membabitkan sejumlah wang yang sangat besar.

Melalui alasan penghakiman penuh setebal 801 muka surat, Mohd Nazlan berkata, kes terbabit mempunyai elemen yang memberikan kesan ke atas kepentingan awam kerana dana RM42 juta itu adalah milik Kementerian Kewangan (Diperbadankan) (MKD) yang berkemungkinan berasal daripada dana pencen Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berjumlah RM4 bilion.


“…dan yang paling penting ia membabitkan seseorang individu yang pada ketika itu berada dalam pada tertinggi dalam kerajaan,” katanya.

Advertisement

Pada 28 Julai lalu, Mohd Nazlan memerintahkan Najib dipenjarakan 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah wang RM42 juta milik SRC.

Hakim turut memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun dan denda RM210 juta (jika gagal bayar, lima tahun penjara) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagi tuduhan pengubahan wang haram pula, Mohd Nazlan memerintahkan Najib dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan.

Sementara itu Mohd Nazlan berkata, Najib selaku tertuduh tidak menunjukkan penyesalan, malah mempertahankan pembelaan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai wang RM42 juta milik SRC itu dalam rayuannya bagi diringankan hukuman.

“Tetapi saya tidak boleh menafikan beliau adalah Perdana Menteri negara ini dan tidak boleh mempersoalkan sumbangannya untuk kebaikan dan kesejahteraan masyarakat dalam pelbagai cara kerana beliau adalah Perdana Menteri selama sembilan tahun.

Advertisement

“Sejarah politik akan terus diperdebatkan sama ada dari segi keseimbangan, beliau melakukan lebih banyak kebaikan daripada keburukan.

“Walau apa pun, ia adalah tidak selari dengan idea sesebuah pentadbiran negara yang bersih daripada rasuah yang tidak boleh bertolak ansur dengan sebarang penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Mahkamah Rayuan menetapkan pada 15 Oktober ini bagi pengurusan kes rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya.

Menurut Mohd Nazlan, sabitan ke atas kesalahan menyalahgunakan kedudukan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah pelanggaran yang paling serius di antara ketiga-tiga tuduhan yang dikenakan.

Beliau berkata, ia adalah kerana berdasarkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika kesalahan itu dilakukan.

Advertisement

Kedudukan tertuduh ke puncak kepimpinan tertinggi negara dan cengkamannya terhadap kekuasaan politik disebabkan oleh rakyat yang memberikannya amanah dan kepercayaan menegakkan sistem demokrasi berperlembagaan.

“Sabitan terhadap semua tujuh tuduhan berkaitan menyalahgunakan kedudukan, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram sesungguhnya adalah satu pengkhianatan kepada kepercayaan yang diberikan,” katanya.

Mohd Nazlan berkata, tiada sebarang merit bagi mahkamah untuk meragui mengapa tertuduh melakukan apa yang dilakukannya walaupun kedudukan beliau di puncak kekayaan dan kekuasaan tidak dapat dipertikaikan lagi.

Najib seorang individu yang mempunyai tahap intelek yang tinggi dan sudah pasti memiliki pandangan tegas dalam membezakan antara yang betul dan salah.

“Saya hanya perlu menekankan tiga perkara, …pertama, tertuduh disabitkan dengan tujuh tuduhan jenayah ketika menjadi Perdana Menteri, dengan mengkhianati kepercayaan orang ramai.

Advertisement

“Kedua, sebagai akibatnya beliau harus dihukum berdasarkan kepada peruntukan undang-undang.

“Ketiga, kini ia menjadi tanggungjawab saya untuk melaksanakan sumpah kehakiman iaitu memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaan dalam menjatuhkan hukuman dengan memastikan peruntukan Artikel 8 bahawa semua orang sama di sisi undang-undang, ditegakkan,” katanya.

Hakim itu berkata, sama ada kompas moral negara perlu ditentu ukur secara berbeza wajar dibahaskan dalam forum lain kerana apa yang ingin ditegaskan mahkamah adalah kesucian peraturan undang-undang dan ketuanan perlembagaan.

Tegasnya, tiada seorang pun malah tokoh politik yang paling berkuasa serta pemimpin negara menikmati keistimewaan bahawa mereka tidak boleh dikalahkan oleh undang-undang. – Berita HarianBerita Harian

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel