Connect with us

Terkini

BN Bertembung Sekutu Di 17 Kerusi PRN Sabah

KOTA KINABALU – Dalam langkah mengejut, Barisan Nasional (BN) akan bertembung dengan sekutunya, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) di 17 daripada jumlah 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 Sept ini.

Kerusi tersebut adalah Bengkoka, Telupid, Lumadan, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Kapayan, Karamunting, Melalap, Sook, Bingkor, Moyog, Tulid, Paginatan, Liawan, Tambunan and Tanjung Aru.



Sebilangan besar kawasan pilihan raya tersebut terletak di kawasan pedalaman, tengah dan bahagian utara Sabah.

Mereka bukan sahaja bersemuka antara satu sama lain, malah mempunyai calon daripada gabungan  Warisan Plus iaitu terdiri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), DAP dan Amanah serta beberapa parti lain dan calon Bebas.

Advertisement

Pada PRN kali ini, BN terdiri daripada UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sementara sekutunya PN terdiri daripada Bersatu, STAR Sabah dan Parti Maju Sabah (SAPP) bersama PBS.

Sebelum hari penamaan calon hari ini, mereka telah bersetuju menggunakan logo parti masing-masing pada pilihan raya kali ini.


Di samping 17 kerusi tersebut, pertarungan sengit  dapat dijangkakan di kerusi DUN Api-Api dengan penyandang Timbalan Ketua Menteri dan Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew dicabar oleh barisan pemimpin parti dan calon berwibawa dalam saingan sembilan penjuru.

Antara pencabar utama termasuk Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP) Datuk Chin Su Phin, bekas ADUN dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Dr Yee Moh Chai dan Timbalan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Pang Yuk Ming dan peguam terkenal Marcel Jude iaitu calon Bebas.

Dalam satu lagi kerusi ‘panas’ melibatkan penyandang kerusi DUN Sulaman selama enam penggal, Datuk Seri Hajiji Noor, iaitu pengerusi Bersatu Sabah yang akan dicabar oleh anak saudaranya Datuk Aliasgar Basri mewakili Warisan.

Advertisement

Aliasgar merupakan timbalan ketua kepada Hajiji semasa kedua-dua mereka menganggotai UMNO Bahagian Tuaran.

Calon PCS Datuk Rekan Hussien turut menyertai saingan tiga penjuru bagi kawasan pilihan raya itu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Hajiji, yang bertanding di atas tiket BN menang dengan majoriti 7,774 undi menewaskan dua pencabar lain masing-masing daripada parti Warisan dan Parti Harapan Rakyat Sabah.

Secara keseluruhan, tiada pertandingan satu lawan satu susulan kesemua kerusi akan menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru dengan minimun tiga penjuru dan maksimun 11 penjuru. Saingan lima, enam dan tujuh penjuru menjadi ciri umum pada pilihan raya negeri kali ini.

PCS, diterajui bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, akan bertanding di kesemua 73 kerusi dikuti Warisan (53), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) (47), LDP (46), BN (41) dan 29 kerusi oleh PN.

Advertisement

Pencabar utama lain ialah Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) (28), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) (23), PBS (22), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (12) manakala PKR dan parti lain bertanding kerusi angka satu digit.

PRN kali ini menyaksikan 56 calon Bebas dan hanya seorang calon ditolak daripada UPKO kerana tidak layak disebabkan muflis.

Seramai 404 calon lelaki dan 43 wanita bertanding pada PRN Sabah yang diadakan susulan pembubaran DUN, 30 Julai lalu, sehari selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai majoriti secukupnya untuk mengambil alih kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie, yang akan mempertahankan kerusi DUN Senallang, berdepan empat lawan termasuk anak buahnya Norazman Utoh Nain daripada PN.

Bagaimanapun, Musa tidak bertanding kali ini.

Advertisement

Dalam pada itu, bekas menteri Kabinet Persekutuan — Datuk Darell Leiking, Datuk Seri Salleh Said Keruak, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Tan Sri Pandikar Amin Mulia masing-masing turut bertanding di kerusi DUN Moyog, Usukan, Segama dan Pintasan.

— BERNAMA

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel