1MDB Masuk Perangkap Liabiliti Korporat Terbesar Dalam Sejarah – Bekas CEO 1MDB

 1,897 total views,  2 views today

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau bercadang untuk meletakkan jawatan pada 2013 kerana risau tentang 1MDB yang dirasakan telah termasuk ke dalam perangkap liabiliti korporat terbesar dalam sejarah.



Mohd Hazem Abdul Rahman, 48, berkata beliau telah menghantar satu e-mel kepada Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir menyuarakan kerisauannya mengenai jumlah projek dan dana mengenai semua portfolio kerja berkaitan 1MDB yang dirasakan tidak realistik untuk dijayakan.

Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata demikian ketika membacakan penyataan saksi semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P. Kunyalam pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Mohd Hazem berkata semasa menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB dari Mac 2013 hingga Januari 2015, beliau mula merasakan tekanan untuk membuat keputusan bagi pelaburan serta pinjaman kewangan syarikat.

“Saya mula memahami beberapa projek yang telah dibiayai dan diuruskan 1MDB, yang menyebabkan kedudukan kewangan syarikat menjadi bermasalah kerana terlampau banyak hutang luar dan dalam negara yang telah dibuat oleh 1MDB atas rancangan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, yang tidak mungkin boleh dibayar balik.

“Saya juga mula risau apabila 1MDB sudah kehabisan dana di dalam negara kerana dana syarikat yang berada di luar negara tidak dapat dibawa balik,” katanya.

Mohd Hazem berkata beliau juga sangsi jika dana 1MDB yang berada di luar negara telah digunakan tanpa pengetahuan pihak pengurusan 1MDB.

“Saya pernah beberapa kali menyuarakan perkara ini kepada Datuk Azlin (Ketua Setiausaha Sulit Najib Datuk Azlin Alias) dan Pengerusi 1MDB ketika itu Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin untuk dibawa kepada pengetahuan Datuk Seri Najib namun jawapan yang saya terima ialah beliau maklum mengenai perkara tersebut.

“Pada akhir 2014, Datuk Seri Najib memaklumkan kepada Tan Sri Lodin bahawa dana 1MDB di luar negara tidak boleh dibawa pulang walaupun 1MDB pada masa itu dalam kekangan untuk membayar balik hutang Maybank sebanyak RM2.5 bilion,” katanya sambil menambah bahawa perkara itu amat bertentangan dengan etika perniagaan.

Saksi itu juga menyimpulkan bahawa selama ini, rancangan pelaburan yang disediakan Jho Low hanyalah untuk membuat pelan perniagaan terlihat seperti urus niaga yang benar-benar dijalankan.

“Jho Low mengarahkan ahli lembaga pengarah dan pengurusan 1MDB untuk mempercayai bahawa perniagaan itu adalah untuk kebaikan syarikat sebelum disusuli dengan ‘pengumpulan dana’ iaitu syarikat perlu membuat pinjaman untuk mendapatkan modal.

“Saya mula mencurigai dana-dana melalui ‘pengumpulan dana’ ini telah disalahgunakan setelah ia dihantar ke luar negara dan kami tidak mempunyai akses penuh serta tidak tahu status yang jelas berkenaan dana ini,” katanya.

Mohd Hazem berkata rancangan perniagaan yang telah dibincangkan Jho Low di peringkat ahli lembaga pengarah adalah rancangan perniagaan normal yang mempunyai risiko dan keuntungan normal.

“Perkara yang luar biasa dalam rancangan perniagaan ini ialah pengumpulan dana melalui hutang tetapi dana yang dikumpul tidak dapat digunakan, tidak diketahui status yang jelas dan pada masa sama, berakhir dengan jawapan “pelaburan oleh pengurus dana.”

“Lebih mencurigakan apabila ahli lembaga pengarah tidak diberi penjelasan tentang status pelaburan dengan lengkap malah ketika audit menimbulkan isu dana ini, Jho Low dengan panik menyediakan laporan dan skrip kepada Datuk Seri Najib dan kami di 1MDB untuk menjawab pertanyaan dari pihak audit,” katanya.

Beliau berkata dalam setiap projek usaha sama yang dibangunkan 1MDB, Jho Low akan meminta beliau menghantar perkembangan projek dan pada masa sama, ahli perniagaan itu akan memberi arahan kepadanya melalui e-mel.

“Saya juga mendapat tahu setiap perkembangan usaha sama 1MDB dengan Aabar Investment PJS Ltd melalui perbincangan dan perbualan bersama Azmi serta peguam 1MDB Jasmine Loo. Saya tahu ia akan dimulakan dengan penerbitan bon sebanyak US$3 bilion untuk dilaburkan dalam projek tersebut.

“Dana bon ini tidak dapat diterbitkan melalui Jaminan Kerajaan kerana sudah terlampau banyak Jaminan Kerajaan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia untuk syarikat kerajaan termasuk 1MDB,” katanya.

Ketika disoal Mohamad Mustafa sama ada pembiayaan berjumlah US$3 bilion itu dapat diluluskan tanpa surat sokongan Najib, saksi tersebut menjawab: Tidak.

Mohd Hazem berkata Jaminan Kerajaan dan surat sokongan tidak mempunyai perbezaan ketara kerana melalui kedua-dua cara ini, pada akhirnya jika hutang tidak dapat dibayar oleh 1MDB, kerajaan terpaksa campur tangan untuk melunaskannya.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

— BERNAMA