Najib Desak Laporan Kewangan Audit 2013 1MDB Ditutup – Bekas CEO

 2,940 total views,  2 views today

KUALA LUMPUR, 15 Sept — Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau didesak oleh Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memastikan laporan audit  kewangan 2013 1MDB ditutup.



Mohd Hazem Abdul Rahman, 48, berkata pada ketika itu firma audit KPMG masih belum menutup laporan audit  itu kerana tidak berpuas hati dengan dokumen dan jawapan yang diberikan berkaitan pelaburan Brazen Sky Ltd yang dikemukakan Bank BSI selaku pengurus dana akaun itu.

Syarikat Brazen Sky  ditubuhkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low  dan diuruskan oleh proksinya sebagai antara cara untuk melencongkan wang pelaburan 1MDB di PetroSaudi Oil Services Ltd (PSOSL).


Mohd Hazem berkata selepas mesyuarat yang diadakan di kediaman peribadi Najib di Langgak Duta di sini  pada 15 Dis 2013 jam 9 malam, KPMG sepatutnya menutup laporan kewangan tahun 2013 1MDB setelah menerima alasan-alasan yang diberikan dan setelah mendapat tahu bahawa  Najib sendiri sebagai pemegang saham mengetahui mengenai pelaburan Brazen Sky itu.

Saksi pendakwaan ke-10 itu bagaimanapun berkata  KPMG masih lagi tidak menutup laporan kewangan 2013 1MDB kerana tidak berpuas hati dengan dokumen dan jawapan yang diberikan.

“Disebabkan desakan oleh Datuk Seri Najib untuk menutup akaun 1MDB dan atas faktor reputasi syarikat, pihak pengurusan mencadangkan kepada pihak ahli lembaga pengarah (BOD 1MDB)) dan pemegang saham untuk menggantikan KPMG dengan Delloite.

“Keputusan ini dibuat kerana saya mendapat tekanan daripada pelbagai pihak terutamanya Datuk Seri Najib yang menghubungi saya beberapa kali melalui telefon bimbit untuk memastikan laporan kewangan audit 2013 1MDB ditutup.

“Saya tiada cadangan lain melainkan mencadangkan kepada BOD untuk menggantikan KPMG dengan Deloite,” katanya dalam penyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata berdasarkan Resolusi Pekeliling Pengarah (DCR) bertarikh 31 Dis 2013,  penamatan  KPMG selaku juruaudit 1MDB dan digantikan  dengan Messrs Deloitte KassimChan, antaranya  kerana KPMG gagal untuk menutup laporan audit kewangan 1MDB bagi 2013.

Beliau berkata sepanjang beliau menjadi CEO, beliau mengetahui Deloite pernah menutup akaun 1MDB iaitu untuk tahun kewangan 2013, pada tahun Deloitte menggantikan KPMG dan pada tahun kewangan 2014.

“Bagaimanapun, pada 2014, Deloitte telah memberikan tekanan kepada pengurusan untuk membuktikan ataupun menjelaskan secara terperinci sekali lagi pelaburan di Brazen Sky.

Saya amat tertekan kerana pelaburan yang terperinci di Brazen Sky tidak boleh dijelaskan. Deloitte telah memberi kata putus yang akaun 1MDB tidak akan ditutup jika 1MDB tidak dapat memberikan maklumat terperinci tersebut. Ini bermakna Deloitte memutuskan supaya pelaburan di Brazen Sky dicairkan dan wangnya dibawa balik ke Malaysia,” katanya.

Mohd Hazem berkata beliau memaklumkan isu itu kepada Jho Low, dan ahli perniagaan itu sendiri mengatur rancangan untuk mencairkan pelaburan Brazen Sky dan kemudian pada akhir 2014 hanya US$1.3 billion sahaja daripada US$2.3 billion telah dibawa balik ke Malaysia.

Menceritakan perjumpaan di rumah Najib pada 15 Dis itu, Mohd Hazem berkata turut berada di sana ialah Jho Low dan wakil KPMG Datuk Johan Idris.

Katanya pada perjumpaan itu Najib sebagai pemegang saham 1MDB memaklumkan kepada Johan bahawa beliau tahu berkenaan pelaburan Brazen Sky dan beliau juga percaya bahawa Najib mengetahui berkenaan status pelaburan tersebut kerana telah ditaklimatkan oleh Jho Low dan Yak Yew Chew dari BSI Bank semasa perjumpaan pada 28 Nov 2013.

Mohd Hazem berkata semasa perjumpaan tersebut, KPMG telah bertanyakan kepada Najib sama ada beliau sebagai pemegang saham 1MDB tahu pelaburan Brazen Sky itu dan bekas perdana menteri itu menjawab bahawa beliau sudah sedia maklum mengenai pelaburan yang dibuat oleh Brazen Sky.

“Selain itu, Datuk Seri Najib mempersoalkan kenapa KPMG tetap menimbulkan isu syak wasangka berkenaan underlying asset pelaburan tersebut sedangkan BSI Bank sendiri sudah menunjukkan penyata pelaburan tersebut.

“Lagipun pihak 1MDB berurusan dengan pihak-pihak yang berreputasi. Datuk Seri Najib juga telah menyatakan kepada Datuk Johan bahawa beliau ingin melihat KPMG menutup akaun 1MDB sebelum 31 Dis 2013, di mana Datuk Johan tidak memberi sebarang jawapan kepada apa yang dikatakan oleh Datuk Seri Najib,” katanya.

Beliau berkata pada 2013, KPMG telah berkali-kali mendesak 1MDB memberi dokumen terperinci berkaitan pelaburan Brazen Sky tetapi Jho Low melarang dan tidak memberikan apa-apa dokumen kepada pengurusan 1MDB untuk membantu audit KPMG selain daripada penyata pelaburan yang dikeluarkan oleh BSI Bank.

Katanya perkara itu telah mengecewakan KPMG sehingga mereka meminta satu perjumpaan dengan pemegang saham iaitu kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Najib diadakan dan tujuan perjumpaan itu adalah supaya KPMG boleh meningkatkan keyakinan ke atas pengurusan 1MDB bahawa semua perkara diketahui oleh pemegang saham iaitu Najib.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Khamis.

— BERNAMA