Connect with us

Terkini

Dipecat Sebagai Peguam Negara, Mohamad Apandi Tuntut Ganti Rugi

KUALA LUMPUR: Tan Sri Mohamed Apandi Ali sudah menghantar surat tuntutan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya atas penamatan khidmat beliau sebagai Peguam Negara dua tahun lalu, yang didakwa sebagai tidak sah.

Surat bertarikh 30 September melalui firma guaman Tetuan Shukor Baljit & Partners itu diserahkan kepada AGC semalam.



Peguam Mohamed Apandi, Datuk Baljit Singh mengesahkan perkara ini ketika dihubungi hari ini.

Dalam surat berkenaan, bekas Peguam Negara itu meminta AGC memberi maklum balas terhadap tuntutannya dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh surat itu dan sekiranya gagal berbuat demikian beliau akan mulakan proses undang-undang untuk penyelesaian yang sesuai termasuk ganti rugi teladan atau punitif serta kos.

Advertisement

Mohamed Apandi mendakwa pemecatannya didalangi dan diputuskan oleh Perdana Menteri ketika itu.

Katanya, beliau dilantik sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015 dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong selama tiga tahun hingga 26 Julai 2018 dan persetujuan itu diberikan berdasarkan nasihat Perdana Menteri pada ketika itu, dalam surat bertarikh 27 Julai 2015.

Mohamed Apandi berkata, pelantikan itu hanya boleh ditamatkan berdasarkan Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan.


Beliau mendakwa pada 6 April 2018, Ketua Setiausaha Negara (KSN) memaklumkannya bahawa Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac 2018 sudah memperkenankan pelantikan semula beliau yang berkuat kuasa pada 27 Julai 2018, yang diterimanya melalui sepucuk surat bertarikh 7 Mei 2018.

Namun, pada 5 Jun, pada tahun yang sama, beliau diberitahu oleh KSN bahawa Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenankan penamatan pelantikannya sebagai Peguam Negara dan menegaskan bahawa beliau tidak pernah diberikan sebarang dokumen yang membuktikan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Advertisement

Beliau mendakwa pemecatan beliau didalangi dan diputuskan oleh Perdana Menteri ketika itu yang mengambil tindakan sendiri terhadap pemecatannya secara tidak sah.

Mohamed Apandi, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, mendakwa Perdana Menteri ketika itu menyalahgunakan kedudukannya dan melakukan salah laku sebagai pegawai awam.

Beliau turut mendakwa tindakan Perdana Menteri ketika itu dibuat dengan tujuan melanggar kontrak, antara Kerajaan Malaysia dan dirinya.

Mohamed Apandi dengan tegas menyatakan bahawa pemecatannya menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Akibatnya, beliau mendakwa beliau mengalami kerugian termasuk kehilangan pendapatan, elaun dan faedah lain mulai 27 Julai 2018 hingga 26 Julai 2021.

Advertisement

Pada Mei 2018, dilaporkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa Mohamed Apandi diberi cuti tanpa rekod selama 30 hari mulai 15 Mei 2018.

Anak kelahiran Kelantan itu dilantik sebagai Peguam Negara menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail yang perkhidmatannya ditamatkan atas sebab kesihatan.

Pada Jun 2018, Tan Sri Tommy Thomas dilantik sebagai Peguam Negara menggantikan Mohamed Apandi. Bagaimanapun Thomas meletak jawatan sebagai orang nombor satu di AGC itu pada 28 Februari lalu setelah kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Idrus Harun dipilih mengisi jawatan Peguam Negara itu pada 6 Mac 2020.

Mohamed Apandi ketika ditanya mengapa beliau mengambil tindakan berkenaan selepas dua tahun, berkata sebelum ini beliau tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk melakukannya.

Advertisement

“Tetapi saya mengambil masa dua tahun untuk memikirkan segala kemungkinan isu dan naratif yang terbabit yang membawa kepada pemecatan saya.

“Saya hanya ingin menggunakan hak-hak perundangan saya terhadap penyalahgunaan kedudukan dan kuasa oleh bekas PM, Dr Mahathir, yang menyingkirkan saya sebagai AG (Peguam Negara) tanpa alasan kukuh setelah tempoh perkhidmatan saya sebagai AG dilanjutkan dan diberikan (perkenan Yang di-Pertuan Agong), ” katanya kepada Bernama melalui aplikasi WhatsApp.

Mengikut Seksyen 6 (1) (a) Akta Had Masa 1953 (Akta Had Masa), tindakan dalam kontrak dan tort (salah laku yang boleh dikenakan tindakan sivil), tidak boleh diambil tindakan selepas tamatnya tempoh enam tahun dari tarikh kausa tindakan itu terakru. – BERNAMA

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel