Peguam Dakwa Pegawai Siasat Kes Rasuah Rosmah Tak Cekap

Pegawai penyiasat kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, didakwa tidak cekap dalam mengendalikan siasatan kes membabitkan isteri bekas perdana menteri itu.

Ketika menyoal balas Noornabilah Mohd Azman, 30, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah juga mendakwa saksi ke-23 pendakwaan itu “terlampau pasif”.


“Minta maaf saya cakap kamu sangat tidak cekap, kamu nampaknya seperti tidak tahu apa-apa, kamu tidak menyumbang apa-apapun kepada perkembangan kes ini,” kata Akberdin pada perbicaraan kes Rosmah, 69, yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Peguam itu berkata demikian selepas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan kerap menjawab tidak tahu atau “tiada dalam pengetahuan saya” setiap kali ditanyakan soalan berhubung kes berkenaan.

Advertisement

Semalam, Akberdin dilihat hampir hilang sabar apabila Noornabilah yang juga saksi terakhir pendakwaan kerap meminta peguam itu mengulangi soalan dan ketika memulakan prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan mengingatkan Noornabilah supaya memberi lebih tumpuan kepada soalan yang diajukan peguam.

“Kamu kerap meminta beliau (Akberdin) mengulangi soalannya semalam. Kamu bertuah beliau seorang yang penyabar, jadi dengar dengan teliti soalan, dengar hati-hati takut hilang sabar dia nanti,” seloroh Mohamed Zaini yang mengundang tawa semua yang hadir di mahkamah.


Selain Akberdin, Noornabilah turut “diserang” seorang lagi peguam Rosmah, Azrul Zulkifli Stork yang mendakwa saksi itu gagal menjalankan amanahnya apabila hanya menjalankan siasatan yang bertujuan untuk menuduh anak guamnya di mahkamah.

Peguam itu juga mencadangkan bahawa Noornabilah hanya menjalankan siasatan berdasarkan dokumen yang diperoleh daripada pegawai penyiasat lain tanpa beliau sendiri turun ke lokasi kejadian dan bertemu saksi, yang mana pegawai SPRM berkenaan mengakuinya.

Azrul: Kamu tidak pernah semak dengan polis atau Bank Negara Malaysia mengenai kewujudan dua beg hitam berisi RM5 juta dan dua beg hitam berjalur oren berisi RM1.5 juta (wang rasuah yang dikatakan diterima Rosmah).

Advertisement

Noornabilah: Tidak betul, (buat semakan) daripada keterangan saksi.

Azrul: Jadi, kamu buat siasatan berdasarkan dokumen?

Noornabilah: Dokumen dan keterangan saksi.

Sementara itu, ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ahmad Akram Gharib, saksi tersebut menjelaskan beliau hanya pegawai penyiasat bagi kes membabitkan Rosmah dan tidak terlibat dalam siasatan melibatkan Saidi, bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Setiausaha UMNO Bahagian Pekan Datuk Ahmad Aazmey Abu Talib berhubung kes solar hibrid berkenaan.

Ahmad Akram meminta Noornabilah memberi penjelasan tersebut berikutan saksi itu semalam bersetuju dengan cadangan Akberdin bahawa kesemua individu terbabit tidak dituduh di mahkamah kerana sasaran utama pihak pendakwaan ialah untuk menuduh Rosmah.

Advertisement

TPR itu turut merujuk Noornabilah kepada dokumen mengandungi rakaman percakapan Rosmah ketika siasatan SPRM, yang mana isteri bekas perdana menteri tersebut mendakwa beliau tidak mengenali Saidi dan menafikan meminta rasuah RM187.5 juta daripada Saidi.

Ahmad Akram: Dalam siasatan kamu, adakah kamu dapati Rosmah mengenali Saidi?

Noornabilah: Ya kenal. Saidi diperkenalkan kepada Rosmah melalui Datuk Rizal Mansor (bekas pegawai khas Rosmah) di kediaman beliau (Rosmah).

Ahmad Akram: Ada apa-apa dalam siasatan kamu yang menyatakan Saidi pernah berada di rumah Rosmah?

Noornabilah: Ada gambar dan video yang menunjukkan Saidi berada di rumah Rosmah dan Datuk Seri Najib Tun Razak di Langgak Duta.

Advertisement

Rosmah didakwa menerima suapan menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Perbicaraan bersambung 20 Okt ini yang mana Mahdzir yang juga saksi kelima pendakwaan akan dipanggil semula untuk disoal balas pihak pembelaan.

Pada tarikh sama, mahkamah akan mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk memasukkan rakaman audio yang didakwa perbualan membabitkan Rosmah dan Najib sebagai bahan bukti di mahkamah.

-Bernama

Advertisement

Malaysian Update

Leave a Comment

Recent Posts

Dua Anggota Polis Maut: Suspek Kes Serang Balai Polis Ulu Tiram Dipercayai Ahli Jemaah Islamiyah – KPN

JOHOR BAHRU, 17 Mei (Bernama) -- Suspek lelaki yang ditembak mati dalam kejadian serangan di… Read More

2 days ago

UiTM: Tiada Perbincangan Dibuka Kepada Bukan Bumiputera – KPT

Kementerian Pendidikan Tinggi dan kerajaan tidak pernah membincangkan atau membenarkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dibuka… Read More

3 days ago

Kes Langgar: Pegawai Kanan Polis Mengaku Tidak Bersalah Bunuh Pelajar

IPOH, 14 Mei (Bernama) -- Seorang pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi… Read More

5 days ago

Jenazah Siti Hawa Mohamad Isa Selamat Dikebumikan, Mangsa Lemas Kereta Terjunam Dalam Tali Air

KEPALA BATAS -- Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam… Read More

7 days ago

Kejam! Suami Bunuh Isteri Yang Didakwanya Malas Masak

Seorang lelaki di Riau, Indonesia tergamak membunuh isterinya sendiri kerana didakwanha malas memasak. Difahamkan juga… Read More

1 week ago

Kes Faisal Halim: Polis Peroleh Cap Jari Suspek, Tunggu Hasil Analisis Cap Jari

Menurut laporan Sinar Harian, beberapa kesan cap jari yang diperoleh di lokasi kejadian simbah asid… Read More

1 week ago