Kes Hasanah: Pegawai JPM Pinjam Kondo Dua Minggu Simpan Dokumen

 1,811 total views,  1 views today

Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa pegawai Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) meminjam dan menggunakan sebuah unit kondominium di Cyberjaya yang disewanya bagi menyimpan dokumen bahagian tersebut selama dua minggu pada 2018.

Pengarah Eksekutif Worldbay Network Mohd Azmin Hashim, 50, berkata beliau dimaklumkan oleh dua pegawai bahagian itu, Hasnul Ambia Abdullah Sani dan Maliki Mohamad ketika menyerahkan kunci kondominium tersebut supaya tidak datang ke unit itu sepanjang tempoh mereka meminjam rumah itu.



,
“Saya akur dengan permintaan Hasnul dan Maliki serta turut mengarahkan pekerja saya Mohd Hazim supaya turut tidak datang ke unit itu sepanjang tempoh digunakan Bahagian Penyelidikan.

“Saya bersetuju membenarkan Datuk Ruslin (Pegawai Kanan Bahagian Penyelidikan JPM, Ruslin Jusoh) untuk meminjam dan menggunakan kondominium tersebut atas dasar kepercayaan serta keperluan Bahagian Penyelidikan JPM pada masa itu. Saya juga tidak tahu apakah jenis dokumen yang akan disimpan oleh pihak Bahagian Pendidikan,” katanya.

Saksi pendakwaan keempat itu berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ahmad Farid Ahmad Kamal dalam perbicaraan kes pecah amanah US$12.1 juta (RM50.4 juta) bekas Ketua Pengarah (KP) Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid.


Pada 6 Okt lepas, saksi pendakwaan pertama, Muhammad Nizhar Kadir yang merupakan penolong penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu mahkamah bahawa pihak SPRM membuat penggeladahan di unit kondominium sama namun tidak menemui sebarang wang atau barang berkaitan kes tersebut.

Terdahulu, Mohd Azmin berkata beliau mengenali Hasnul dan Maliki sejak awal 2017 kerana pada tahun itu beliau banyak membuat demonstrasi dan pembentangan berkaitan keluaran barang-barang telekomunikasi syarikatnya kepada pegawai di Bahagian Penyelidikan JPM.

“Bagaimanapun, hubungan saya lebih rapat dengan Maliki kerana lebih kerap berbincang berkaitan urusan penyelenggaraan peralatan komunikasi.

“Saya mula berkenalan dengan Datuk Hasanah dan Datuk Ruslin pada sekitar tahun 2016 semasa perbentangan berkaitan ‘3G Lawful Interception’ di JPM. Saya hanya berurusan dengan mereka atas urusan perniagaan sahaja,” katanya.

Beliau berkata sepanjang urusan perniagaan tersebut, Hasanah dan Ruslin pernah sekali datang ke kondominium itu untuk pembentangan akhir (3G Lawful Interception).

Tambahnya pada 26 Jun 2018, Hasnul dan Maliki berjumpa dengannya di D’Pulze Cyberjaya serta memaklumkan bahawa unit kondominim tersebut telah selesai digunakan dan dalam proses untuk dikosongkan serta akan memulangkan kunci kondominium tersebut dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun pada hari sama, Hasnul menghubungi saya memaklumkan bahawa kunci itu telah diserahkan kepada Datuk Salahudin Yaakob yang merupakan rakan perniagaan saya.

“Pada 27 Jun 2018, saya telah berjumpa dengan Datuk Salahudin di lobi kondominium tersebut bagi mengambil kunci itu. Setelah mendapat kunci, saya dan Hazim terus ke unit itu untuk melihat keadaan di dalamnya dan menghantar barang-barang kami ke kondominium tersebut,” katanya.

Ketika ditanya Ahmad Farid mengenai jumlah kunci serta pas akses yang diserahkannya kepada Hasnul dan Maliki, beliau menjawab: “Dua set dua kunci dan dua pas akses.”

Ahmad Farid: Selepas mendapat kunci semula dan masuk ke kondominium itu, ada apa-apa kelainan dalam rumah itu?

Mohd Azmin: Saya masuk malam, dalam jam 9 lebih. Kami bawa barang bersama, bila masuk keadaan seperti biasa dan tiada kelainan.

Hasanah, 62, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu KP Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat KP Bahagian Penyelidikan JPM, Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 30 April hingga 9 Mei 2018.

Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh bersambung 12 Okt depan.

– Bernama