Connect with us

Mahkamah

Bicara Kes Rasuah Bung Moktar, Zizie Ezette Tangguh

Perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Ezette A Samad yang dijadualkan hari ini dan esok ditangguhkan kerana keadaan terkini pandemik Covid-19.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Rashid Sulaiman dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu media bahawa Bung Moktar, 60, yang kini Timbalan Ketua Menteri Sabah dan isterinya, Zizie Ezette, 41, seorang pelakon sedang menjalani kuarantin.



“Sepatutnya perbicaraan pada hari ini dan esok, tetapi hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes itu. Tarikh bicara seterusnya pada 21 hingga 24 Dis ini,” katanya selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob hari ini.

Peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili Bung Moktar ketika ditemui berkata beliau ada menghubungi anak guamnya yang berada di Sabah melalui sidang video.

Advertisement

Turut hadir ke mahkamah peguam Teh See Khoon dan Arwinder Kaur yang mewakili Zizie Ezette.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, 60, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui Zizie Ezette.

Bung Moktar dituduh melakukan perbuatan itu sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun


Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya wang tunai RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette bagi tujuan serupa.

Advertisement

Bung Moktar juga berdepan tuduhan ketiga, secara rasuah memperoleh untuk dirinya wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada jam 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, 19 Jun 2015 dan semua pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Ezette mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

– Bernama

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel