Kem Mahathir Fail Usul Tak Percaya Terbaru Terhadap PM Muhyiddin

 1,554 total views,  20 views today

Kem bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memfailkan usul tidak percaya terbaru dalam usaha menumbangkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Langkah itu dilakukan ketika keretakan mulai melanda kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila Umno mengancam untuk menarik sokongan daripada gabungan itu.



Anggota Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah yang berpihak kepada Mahathir berkata beliau telah memfailkan usul itu semalam.

“Saya telah menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat berkenaan Usul Tidak Percaya terhadap YAB Perdana Menteri bertarikh 15 Oktober 2020 untuk sesi sidang parlimen yang akan datang.

“Usaha ini adalah demi menjunjung prinsip mengembalikan mandat rakyat dalam PRU14 dan solidariti atas sebuah kerajaan yang tidak kompeten dan stabil. Bagaikan telur di hujung tanduk,” katanya dalam satu kenyataan.

Persidangan Dewan Rakyat akan bermula pada 2 November.

Mahathir sendiri sebelum ini cuba mengemukakan usul tidak percaya dalam dua sesi di Dewan Rakyat terhadap Muhyiddin.

Bagaimanapun disebabkan amalan parlimen yang mengutamakan usul dan rang undang-undang kerajaan berbanding pembangkang, ia tidak dapat dibentangkan untuk undian.

Persidangan November ini akan menyaksikan pembentangan Belanjawan 2021, yang juga boleh menentukan sokongan terhadap Muhyiddin.


Amiruddin, yang menyerahkan surat kepada speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, mengemukakan usul tersebut bagi menentukan apakah Muhyiddin masih mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Pada masa ini, Muhyiddin memperoleh sokongan 113 anggota parlimen daripada jumlah keseluruhan 222 anggota parlimen.

Ini bermaksud kerajaan pimpinannya akan tumbang sekiranya ada tiga anggota parlimen melompat parti. – Mkini