Connect with us

Terkini

Surat Tular Palsu, UMNO Tidak Pernah Keluar Surat Sokongan

KUALA LUMPUR – Surat yang tular di media sosial, kononnya Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi sokongan dan kepercayaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baharu sejak tengah hari tadi, disahkan palsu.



Pejabat Presiden UMNO hari ini menegaskan bahawa ia tidak pernah mengeluarkan surat yang didakwa dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi  menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang itu sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan menjelaskan beliau dan pegawai Pejabat Presiden  UMNO sering bertanggungjawab menyediakan segala surat menyurat dan ‘letter head’ tidak pernah dikeluarkan tanpa nombor rujukan.


“Penyebaran surat rasmi berkenaan sangat melampau dan mungkin disebarkan oleh segelintir pihak yang berkepentingan dan berniat jahat bertujuan untuk merosakkan imej Presiden UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisement

Sejak tengah hari, tular mesej dokumen format mudah alih “Surat UMNO kpd Agong.pdf” memaparkan surat yang didakwa ditandatangani Presiden UMNO berhubung pendirian Ahli Parlimen UMNO memberi sokongan dan kepercayaan tidak berbelah bahagi kepada Anwar untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Surat bertarikh 11 Okt, yang  kononnya ditandatangani Ahmad Zahid dan disaksikan serta disokong Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Penasihat Barisan Nasional itu, antara lain bagi mengesahkan bahawa Ahmad Zahid bersama Najib dan sejumlah Ahli Parlimen UMNO telah menarik balik sokongan dan kepercayaan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan memberi sokongan kepada Anwar.

Beberapa pemimpin UMNO dalam reaksi mereka menafikan dakwaan memberi sokongan kepada Anwar.

Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Menteri Luar, dalam ciapan menerusi akaun Twitter rasminya menulis: “Seperti @DrZahidHamidi sebut sblm ini, beliau tidak blh halang MP sokong Anwar. Tetapi jika surat yg tular hari ini benar, sy tidak dimaklumkan& ia BUKAN pendirian sy sebagai MP UMNO. Sy mahu nyatakan dgn jelas, sy TIDAK sokong Anwar sebagai PM. Sy konsisten – NO ANWAR NO DAP.”

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, menafikan pernah menyatakan sokongannya kepada Anwar.

Advertisement

“Jika surat itu benar, saya ingin menyatakan secara tegas bahawa pendirian presiden parti tidak mewakili suara saya. Saya tidak menyatakan sokongan untuk Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Saya harap Ahli Parlimen UMNO lain akan menyatakan pendirian mereka dengan jelas. Mari kita lihat siapa yang ada angka,” katanya dipetik menerusi laman Instagramnya hari ini.

— BERNAMA

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel