Connect with us

Mahkamah

Konstabel Polis Didakwa Rompak Berkumpulan

KUALA LUMPUR – Seorang konstabel polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan di sebuah rumah pangsa, minggu lepas.

Mohamad Hazani Omar, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.


Mohamad Hazani yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) didakwa bersama dengan seorang yang telah dituduh dan dua yang masih bebas, telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap Syaifulyazan Hassan, 57, dengan merompak dua utas gelang emas dan wang tunai berjumlah RM275 milik lelaki itu.

Advertisement

Tertuduh didakwa melakukan jenayah itu  di sebuah unit kediaman Flat Sri Melaka, Cheras, di sini, pada 1 pagi, 13 Okt lepas.

Pendakwaan adalah mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad tidak menawarkan wang jaminan tetapi tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia menanggung ibu bapa di kampung dan dua adik yang masih belajar.

Ditanya Emelia Kaswati samada tertuduh masih berkhidmat,  Mohamad Hazani  berkata “Ya, saya masih  berkhidmat di IPK KL”.

Advertisement

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa selain tertuduh perlu berada di rumah pada jam 11 malam hingga 6 pagi, setiap hari sehingga kes selesai.

Rakan tertuduh, Muhammad Faizal Azmin Mohd Azman, 21, yang bekerja sebagai pereka grafik juga mengaku tidak bersalah atas kesalahan sama.

Dia yang tidak diwakili peguam turut didakwa dengan niat telah menyamar sebagai penjawat awam iaitu sebagai pegawai kanan polis mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu dituduh  memiliki barangan polis iaitu ves dengan lambang polis, sehelai  baju operasi yang mempunyai lambang integriti dan pangkat inspektor, gari serta topi berlambang polis mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda maksimum RM500 atau penjara yang boleh sampai enam bulan, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Emelia Kaswati bagaimanapun tidak menetapkan sebarang wang jaminan terhadap Muhammad Faizal Azmin kerana penjaminnya tidak hadir di mahkamah.

Advertisement

Mahkamah menetapkan 13 Nov untuk sebutan semula kes untuk kedua-dua tertuduh.

— BERNAMA

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel