Connect with us

Pilihan Editor

Mesyuarat MN Ditangguh Untuk Redakan ‘Suhu Politik’ Negara, Kata Takiyuddin

ALOR SETAR – Keputusan menangguhkan mesyuarat Muafakat Nasional semalam bertujuan meredakan “suhu politik” negara bagi memastikan fokus semua pihak kembali kepada usaha mendepani COVID-19, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau juga meminta pihak pembangkang memberi kerjasama dengan menangguhkan percaturan politik masing-masing bagi memberi ruang kepada kerajaan semasa meneruskan usaha menangani penularan pandemik itu.



“Mesyuarat (Muafakat Nasional) semalam semua tangguh sebab ikut prosedur operasi standard (SOP), mesyuarat PAS dan UMNO pun tangguh dan saya difahamkan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pun tangguh… kita nak redakan suhu politik, elok semua tumpu kepada COVID-19.

“Dalam masa sama politik kena stabil termasuk di pihak pembangkang, kerajaan hari ini perlu diberi peluang untuk meneruskan usaha baik dalam tangani COVID-19,” katanya.

Advertisement

Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua jabatan persekutuan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Anak Bukit dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata pandemik COVID-19 mengatasi isu-isu lain kerana jangkitan tersebut bukan sekadar berkaitan kesihatan tetapi melibatkan keseluruhan aspek kehidupan manusia.

“Tidak ada sebab untuk mana-mana pihak menggugat atau mengganggu kerja kerajaan hari ini, sama ada di luar atau dalam Parlimen, jadi saya ingat isu politik perlu diredakan atau ditangguh dan tidak perlu timbulkan perkara yang tidak perlu,” katanya.

Mengulas mengenai usul menangguhkan sementara urusan kerajaan di Dewan Rakyat yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, beliau berkata usul tersebut bersifat umum, justeru tidak boleh diutamakan oleh sidang Dewan Rakyat.


“Dalam undang-undang ada dua perkara iaitu general provision (peruntukan umum) dan specific provision (peruntukan khusus). Peruntukan umum tidak boleh mengatasi peruntukan khusus yang antaranya memperuntukkan bahawa urusan kerajaan perlu diutamakan,” katanya.

Maszlee dilaporkan berkata telah mengemukakan usul agar persidangan Dewan Rakyat akan datang menangguhkan terlebih dahulu urusan kerajaan bagi memberi laluan kepada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dibincangkan dan diputuskan.

Advertisement

Menurut bekas Menteri Pendidikan itu menerusi status bebenang akaun Twitternya, usul tersebut penting bagi memastikan keabsahan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekali gus menentukan kestabilan politik negara.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-14 dijadual berlangsung dari 2 Nov hingga 15 Dis ini.

— BERNAMA

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel