Connect with us

Mahkamah

Pengurusan Kes Saman Mohamed Apandi Terhadap Dr Mahathir Pada 13 Nov

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Pengurusan kes saman menuntut ganti rugi RM2.2 juta yang difailkan Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Malaysia berhubung penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara (AG) ditetapkan pada 13 Nov ini.

Berdasarkan semakan sistem e-filing, pengurusan kes itu akan dikendalikan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norhatini Abd Hamid.



Mohamed Apandi mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.

Pada 13 Okt, Mohamed Apandi memfailkan saman menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai AG yang dibuat oleh bekas perdana menteri itu sebagai tidak sah.

Advertisement

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamed Apandi yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai AG pada 2015, juga menuntut perisytiharan bahawa defendan pertama telah menyalahgunakan kedudukannya dan bahawa defendan pertama telah mendorong berlakunya pelanggaran kontrak di antara beliau dan kerajaan Malaysia.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa wujud kegagalan pematuhan terhadap Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dalam pemecatannya dan bahawa pemecatannya sebagai AG adalah tidak mengikut undang-undang, dan oleh itu tidak sah.


Mohamed Apandi memohon ganti rugi khas sebanyak RM2,233,599.36, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan/atau punitif, kos dan relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam penyataan tuntutannya, Mohamed Apandi berkata melalui surat bertarikh 27 Mei 2015 daripada Ketua Setiausaha Negara, beliau dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan terhadap pelantikannya sebagai AG yang berkuat kuasa dari 27 Julai 2015 hingga 26 Julai 2018.

Bekas AG itu mendakwa pada 6 April 2018, Ketua Setiausaha Negara telah memaklumkan beliau bahawa Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac 2018 telah memberi perkenan terhadap pelantikannya disambung selama tiga tahun lagi, berkuat kuasa pada 27 Julai 2018 dan akan tamat pada 26 Julai 2021.

Advertisement

Mohamed Apandi juga mendakwa Dr Mahathir yang dilantik sebagai Perdana Menteri pada 10 Mei 2018 kemudian mula mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan integriti profesional beliau.

“Antara lain, defendan pertama telah menyatakan bahawa beliau tidak lagi menganggap plaintif sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan meskipun plaintif dilantik sebagai Peguam Negara yang sah oleh Yang Di-Pertuan Agong.

“Plaintif akan merujuk semua kenyataan yang dikeluarkan defendan pertama yang telah dilaporkan di dalam media.

“Defendan pertama kemudian mengarahkan Ketua Setiausaha Negara untuk memaklumkan arahan defendan pertama kepada plaintif agar plaintif mengambil cuti tanpa rekod selama 30 hari dari 14 Mei 2018 sehingga 14 Jun 2018,” katanya.

Bekas AG itu mendakwa arahan Dr Mahathir itu adalah tidak sah dan mendakwa bahawa di bawah Perkara 145(5) Perlembagaan Persekutuan, pada semua masa yang material, beliau memegang jawatan itu atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Advertisement

Plaintif mendakwa bahawa budi bicara Yang di-Pertuan Agong tidak terikat dengan nasihat Kabinet atau menteri termasuk defendan pertama seperti yang termaktub di bawah Perkara 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Mohamed Apandi juga mendakwa defendan pertama telah bersikap berat sebelah dan mempunyai pandangan yang serong terhadapnya, mencadangkan pengganti sebelum penamatan kontrak oleh kuasa yang sah iaitu Yang di-Pertuan Agong selain enggan dan gagal mengambil kira nasihat Jabatan Peguam Negara serta meminta atau menyebabkan pihak ketiga termasuk peguamnya untuk memberi tekanan kepada plaintif agar meletak jawatan pada kadar segera.

— BERNAMA

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel