Connect with us

Terkini

Najib Fail Rayuan Keputusan Perlu Bayar RM1.69 Bilion Cukai LHDN

KUALA LUMPUR, 26 Okt — Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memfailkan rayuan terhadap keputusan agar beliau membayar tunggakan cukai tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tempoh 2011 hingga 2017 selepas penghakiman ingkar dikenakan terhadapnya.

Peguam beliau, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata rayuan itu difailkan beberapa bulan lepas.



“Pengurusan kes seterusnya ialah esok di Mahkamah Rayuan,” katanya ketika ditanya mengenai perkara itu hari ini.

Pada 22 Julai lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan LHDN agar penghakiman terus dikenakan terhadap Najib.

Advertisement

Hakim Datuk Ahmad Bache menetapkan bahawa memandangkan notis taksiran telah diserahkan dengan sempurna kepada Najib selaras dengan Seksyen 103(2) Akta Cukai Pendapatan 1967, maka cukai yang harus dibayar di bawah taksiran tambahan menjadi tertunggak dan perlu dibayar kepada LHDN.

Beliau berkata defendan (setakat tarikh yang berkenaan) gagal membayar tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1,692,872,924.83 yang turut merangkumi penalti.


Hakim seterusnya berkata menurut Seksyen 106 akta berkenaan, mahkamah mendapati cukai pendapatan tambahan itu telah tertunggak dan boleh diperoleh kembali sebagai hutang yang perlu dibayar kepada kerajaan bagi jumlah RM1,692,872,924.83, sebagaimana yang termaktub dalam sijil hutang yang dikeluarkan pada 5 Ogos 2019.

“Mahkamah memutuskan penghakiman terus dikenakan ke atas defendan bagi jumlah yang dituntut oleh plaintif seperti mana dalam pernyataan tuntutan plaintif iaitu sebanyak RM1,692,872,924.83 dengan kos,” kata hakim itu.

Memetik satu penghakiman Mahkamah Persekutuan, hakim itu berkata peruntukan sebagaimana yang ditekankan oleh Mahkamah Persekutuan iaitu “bayar dahulu, bincang kemudian”, walaupun keras, adalah peruntukan yang sengaja ditetapkan oleh perundangan disebabkan terdapat banyak insiden pengelakan cukai di negara ini.

Advertisement

Pada 25 Jun tahun lepas, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Pekan itu, menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN kemudian memfailkan permohonan untuk penghakiman terus.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

— BERNAMA

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel