Connect with us

Mahkamah

Mahkamah Tinggi Dengar Prosiding Komital Terhadap Lokman Adam Pada 14 Dis

Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar prosiding komital yang dikemukakan Peguam Negara terhadap bekas Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam pada 14 Dis ini.

Peguam Negara memulakan prosiding komital terhadap Lokman atas dakwaan mengugut seorang saksi dalam perbicaraan kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.



Saksi itu merupakan bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, saksi penting dalam kes berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam semasa dihubungi memaklumkan bahawa prosding itu akan didengar di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Advertisement

Beliau berkata Mahkamah Persekutuan juga telah menetapkan 26 Nov ini untuk mendengar rayuan Lokman berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya untuk mengetepikan kebenaran diperoleh Peguam Negara di Mahkamah Tinggi bagi memulakan prosiding komital terhadapnya.

“14 Dis ditetapkan sebagai tarikh untuk mendengar prosiding komital jika Lokman gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan.” katanya.

Pada 14 Jan lepas, hakim Sequerah, menolak permohonan Lokman Noor itu selepas berpendapat kenyataan oleh Peguam Negara adalah jelas dan mencukupi ketika ia dibawa kepada perhatian responden (Lokman Noor).

Pada 22 Okt tahun lepas, hakim Sequerah memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman Noor bagi perbuatan menghina mahkamah yang dilakukan dua kali pada 25 Sept tahun lepas.


Thomas, yang dilantik sebagai Peguam Negara untuk tempoh dua tahun pada 4 Jun, 2018 oleh perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali, meletak jawatan pada 29 Feb lepas.

Advertisement

Thomas memulakan prosiding komital terhadap Lokman Noor dengan memohon supaya responden dipenjara atau didenda atas perbuatannya.

Menurut Thomas, pada 25 Sept tahun lepas, Lokman Noor dalam temu bual video telah mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut Amhari Efendi kerana memberi keterangan dalam perbicaraan kes Najib di Mahkamah Tinggi.

Tujuan tindakan responden, kata Peguam Negara, adalah untuk mengganggu dan mengugut Amhari Efendi, saksi-saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi yang mungkin tampil untuk memberi keterangan terhadap Najib pada perbicaraan kes 1MDB.

— BERNAMA

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel