Connect with us

Mahkamah

Bicara Kes Ahmad Maslan: Pendakwaan Akan Panggil 10 Saksi

Pihak pendakwaan akan mengemukakan 10 saksi pada perbicaraan kes Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan yang didakwa atas dua pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).



Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata pihak pendakwaan telah menyerahkan penyataan-penyataan saksi kepada mahkamah dan pasukan pembelaan, awal bulan lepas.

Perbicaraan kes itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad.

Sebelum ini, perbicaraan kes Ahli Parlimen itu ditetapkan pada 16 dan 23 Okt serta 6 Nov (hari ini), bagaimanapun prosiding telah dilapangkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Advertisement

“Pihak pendakwaan menerima e-mel daripada mahkamah baru-baru ini yang memaklumkan pengurusan kes ditetapkan pada 27 Nov ini bagi menetapkan tarikh perbicaraan baharu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mengetuai pasukan pembelaan ketika dihubungi turut mengesahkan perkara itu.


Ahmad didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau dituduh telah menerima wang tersebut, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di Kuala Lumpur, pada 30 April, 2014.

Advertisement

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa telah memberi penyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

– Bernama

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel