Connect with us

Terkini

Dewan Rakyat Kecoh, MP GPS-Bintulu Keluarkan Kenyataan “DG (Ketua Pengarah Kesihatan) Takut Mati…”

KUALA LUMPUR, 11 Nov  — Suasana persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh susulan kenyataan “DG (Ketua Pengarah Kesihatan) takut mati” dikeluarkan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021.

Tiong ketika membahaskan rang undang-undang itu mempersoalkan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) tidak turun padang untuk melihat sendiri situasi COVID-19 di lapangan, sebaliknya hanya membuat sidang media setiap hari melalui siaran langsung televisyen.



“Kenapa dia tidak turun padang, macam di Kota Kinabalu begitu teruk, begitu hebat pandemik COVID-19 kenapa dia tidak turun melawat tiap-tiap hospital, temporary hospital, kita pergi tengok berbincang kasi moral support kepada frontliners. Doktor, jururawat dia orang semua bekerja (di) sana.

“Jangan hantar saja doktor pergi jururawat pergi… oh itu orang tak takut mati tapi DG takut mati, timbalan DG pun tidak pergi. Apa sudah jadi. Tak usahlah hari-hari nak buat publisiti, saya dengar dia sekarang mahu projek dia sendiri jadi WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) punya Setiausaha Agung, itu memang tidak layak untuk saya, ” katanya.

Advertisement

Kenyataan kontroversi bernada emosi itu menyebabkan RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit dan meminta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said yang mempengerusikan sidang untuk tidak membenarkan Tiong “menghentam” Ketua Pengarah Kesihatan dan mahu kenyataan itu ditarik balik.

“Hormat DG, jangan hentam dia, DG is a frontliner, tarik balik kenyataan DG takut mati,” tegas Rayer.

Azalina kemudiannya mengarahkan semua yang berada di dalam dewan agar duduk bagi membolehkan beliau membuat keputusan, namun, beberapa ahli Parlimen tidak mengendahkan arahan itu termasuk Rayer.

“Duduk, semua duduk! Saya nak buat keputusan macam mana? Tak payahlah saya jadi timbalan speaker kalau semua nak bercakap. Sit down.

Advertisement

“Jelutong (Rayer), I’m warning you if you don’t sit down, you leaveYou refuse to sit down? (Jelutong, saya beri amaran kalau anda tidak duduk anda keluar. Anda enggan duduk?) Bentara, keluarkan Jelutong,” katanya yang lapan kali mengulangi perkataan ‘keluar’ kepada ahli Parlimen berusia 49 tahun itu.

Azalina berkata sebarang permohonan untuk meminta maaf atau menarik balik kenyataan boleh dibuat ketika seseorang ahli Parlimen itu berbahas, dan beliau menyerahkan kepada Tiong sama ada mahu menerangkan atau menarik semula kenyataan tersebut.

Tiong bagaimanapun menegaskan beliau tidak mahu menarik balik kenyataan itu dan menambah apa yang dikatakannya adalah suara petugas barisan hadapan sendiri.

“Takda (tak ada), takda tarik balik. Ini suara daripada frontliners, suara rakyat. Kenapa DG tak datang? apa salahnya? Saya bukan sumpah dia mati. Saya tanya kenapa dia takut mati? Hantar orang lain pergi, tapi dia sendiri tak turun padang,” katanya.

Situasi itu turut mengakibatkan beberapa ahli Parlimen blok pembangkang seperti Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) bangun mencelah bagi meminta penjelasan serta mengemukakan Peraturan Mesyuarat.

Advertisement

Hassan mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36 (9) yang menyatakan dalam apa-apa perbahasan, tidak boleh disebutkan kelakuan atau sifat siapa-siapa ahli-ahli Parlimen atau siapa-siapa pegawai kerajaan selain daripada kelakuan ketika menjalankan urusannya sebagai ahli Parlimen atau pegawai kerajaan.

Ramkarpal turut mencelah dan bertanya adakah kenyataan Tiong itu “dilepaskan (dibenarkan) atau tidak” bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

“Saya dah buat ruling dan bagi keputusan. Sama ada dia nak tarik balik atau bagi penerangan, dia (Bintulu) kata nak beri penerangan. He did not refuse (to explain), (and) he explained (Bukan dia enggan buat penjelasan, dia dah buat penjelasan). Saya dengar penerangan dia dan saya terima,” kata Azalina yang pada akhir persidangan meminta ahli-ahli Parlimen yang tidak puas hati supaya membuat tindakan susulan.

Beberapa ahli Parlimen daripada blok pembangkang pada sidang media selepas itu menggesa Tiong menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf kepada Dr Noor Hisham serta seluruh petugas barisan hadapan yang selama ini bertungkus-lumus mengekang penularan pandemik COVID-19.

Mereka yang hadir pada sidang media itu ialah Rayer, Hassan, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) dan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka).

Advertisement

Sumber: BERNAMA

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel