Agong Isytihar Darurat Di Parlimen Batu Sapi, PRK Batal

 637 total views,  9 views today

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi itu.

Proklamasi darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dilakukan selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri berhubung perkara itu.



“Dengan pengisytiharan ini juga, apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud perjalanan PRK bagi P185 Batu Sapi tidak akan diteruskan dengan tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak koronavirus (Covid-19) dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut.

“Maka dengan itu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi P185 Batu Sapi, Sabah dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19,” demikian menurut kenyataan Istana Negara hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRK Batu Sapi pada 23 November manakala hari pengundian pada 5 Disember dan pengundian awal pada 1 Disember.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober akibat jangkitan paru-paru.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan itu berkata, Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap keselamatan rakyat ekoran kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada 26 September.


“Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda berpendapat bahawa amatlah wajar PRK ini dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan kesejahteraan negara,” katanya.

Beliau berkata, perkenan Yang di-Pertuan Agong itu dilakukan dengan mengambil iktibar dan pengalaman daripada PRN Sabah yang menjadi faktor utama gelombang ketiga penularan Covid-19 di Malaysia.

Ahmad Fadil berkata, perkenan Seri Paduka itu juga mengambil kira jumlah pemilih berdaftar yang tinggal di luar kawasan Parlimen Batu Sapi yang akan merentas daerah dan negeri untuk pulang mengundi.

Berdasarkan data SPR, jumlah pemilih berdaftar Parlimen Batu Sapi adalah 32,962 orang dan sejumlah 3,170 orang daripadanya beralamat di luar bahagian Parlimen itu, termasuk di Semenanjung dan Sarawak.

Di samping itu, dianggarkan sejumlah 16,000 pemilih beralamat umum iaitu tiada nombor rumah dan akan menyukarkan pelaksanaan undi pos.

Kementerian Kesihatan merekodkan peningkatan mendadak sehingga 148.4 peratus iaitu 3,842 kes kumulatif pada 10 Oktober lalu selepas dua minggu hari mengundi PRN Sabah.

Kes positif harian Covid-19 kekal melonjak dua minggu berikutnya dengan peningkatan sehingga 193.7 peratus iaitu sebanyak 11,285 kes kumulatif yang dicatat pada 24 Oktober.

Terdahulu, Seri Paduka menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Negara dan mendengar taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Pertemuan pada jam 4 petang itu berlangsung selama satu jam.

Berhubung dengan peningkatan mendadak kes Covid-19, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat agar terus berdisiplin dan memainkan peranan masing-masing dalam membendung penularan wabak itu serta mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka berdoa agar wabak Covid-19 berakhir segera.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan dan sanjungan tinggi kepada wira dan wirawati barisan hadapan atas ketabahan dan pengorbanan menjalankan tanggungjawab tanpa mengira masa dan penat lelah.

“Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa Covid-19 dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan,” kata Ahmad Fadil. – Bernama