Connect with us

Terkini

“Moga Diganjari Syurga..,” Pemimpin Negara Berkongsi Kesedihan Pemergian Ikhsan Ise

KUALA LUMPUR, 1 Dis — Pemergian pengasas ilustrasi digital Artortoise, Mohamad Ikhsan Kamaruddin, 35, awal pagi tadi mendapat reaksi sedih daripada peminat seluruh negara, termasuk beberapa pemimpin negara yang berkongsi kesedihan atas berita kematian pelukis tersebut.

Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Ikhsan Ise’ terkenal dengan lukisan bermesej yang menyentuh pelbagai isu negara termasuk berkaitan khidmat masyarakat, politik serta karya terbaharu yang memberi penghormatan kepada petugas barisan hadapan COVID-19.



Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba antara pemimpin negara pertama yang memberi penghormatan kepada pelukis itu melalui hantaran di laman media sosial miliknya.

“Takziah kepada keluarga @Ikhsanise artortoise. Karya beliau menyantuni frontliners dikenang sehingga bila-bila. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” kata Adham di laman Instagramnya.

Advertisement

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri juga berkongsi berita duka mengenai kematian pelukis itu di media sosial miliknya.

“Perginya seorang kartunis yang meninggalkan karya-karyanya yang bermanfaat dan mengesani jiwa. Sudah pasti kehilangannya dirasai. Salam takziah buat seluruh keluarga Mohamad Ikhsan bin Kamarudin,” kata Ismail yang turut berkongsi dua ilustrasinya yang pernah dilukis Allahyarham di laman Twitter dan Facebooknya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut sama berkongsi kedukaan atas kematian pelukis tersebut.

“Setiap kali terpandang beg cenderahati pejabat saya, pasti teringat @Artortoise_full. Lukisan itu hadiah beliau kepada saya. Moga diganjari syurga atas segala sumbangannya kepada negara melalui mata pena. Sama-sama kita sedekahkan bacaan Surah al-Fatihah,” kata beliau di laman Twitternya.

Beberapa menteri lain dan ahli politik turut sama menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham seperti Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pemergian Ikhsan Ise dimaklumkan menerusi catatan laman Facebook rasmi Artortoise yang memaklumkan Allahyarham telah kembali ke Rahmatullah pada jam 1.37 pagi hari ini dan dikebumikan di tanah perkuburan di Bandar Seri Putra, Kajang pagi ini.

“Kami bagi pihak Artortoise ingin memohon ampun dan maaf kepada sesiapa yang mengenali beliau, sekiranya Allahyarham ada terbuat salah silap atau ada karya-karya beliau yang menyinggung sesiapa sama ada secara sengaja dan tidak sengaja,” menurut catatan Facebook itu.

Advertisement

Pada 15 Oktober lepas, melalui catatan di laman Instagramnya, Allahyarham memaklumkan dia sedang menjalani rawatan kimoterapi kanser untuk hari pertama sambil meletakkan tanda pagar #CancerFighter.

Mohamad Ikhsan kemudiannya dimasukkan ke Hospital Selayang pada 22 Oktober lepas untuk menerima rawatan penyakit Hepatitis B, bagaimanapun tahap kesihatannya semakin merosot.

Karya ilustrasinya boleh didapati di banyak laman media sosial termasuk di laman Instagram @artortoise yang sentiasa menerapkan elemen penyatuan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19.


Antara karya yang menjadi perhatian ramai ialah watak digital Artortoise bersama 10 watak pelbagai pekerjaan ‘frontliners’ yang berdiri dalam lingkaran mengelilingi bumi menggambarkan rakyat sentiasa dilindungi pasukan petugas barisan hadapan negara dari ancaman COVID-19.

Beliau turut menampilkan ilustrasi bintang ternama dalam laman media sosialnya, termasuk Siti Nurhaliza, Black Pink, Zizan Razak dan Ernie Zakri.

Advertisement

Sumber: BERNAMA

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel