Connect with us

Terkini

Mohamed Apandi Mohon Dokumen Berkaitan Penamatan Perkhidmatannya

KUALA LUMPUR — Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini memfailkan permohonan bagi mendapatkan dokumen berkaitan penamatan khidmatnya sebagai Peguam dalam saman dikemukakannya untuk menuntut ganti rugi sebanyak RM2.2 juta terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Malaysia.

Peguam Datuk Baljit Singh Sidhu, yang mewakili Mohamed Apandi, memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes secara dalam talian (e-review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norhatini Abd Hamid yang kemudiannya menetapkan 12 Jan depan untuk pengurusan kes selanjutnya.



Dalam permohonan itu, Mohamed Apandi selaku plaintif antara lain memohon satu perintah dikeluarkan oleh mahkamah agar beliau bebas untuk memeriksa dan dibekalkan dengan salinan dokumen atau surat berhubung penamatan perkhidmatannya.

Katanya, dokumen-dokumen itu berada dalam milikan, jagaan atau kuasa kedua-dua defendan dan ia perlu diberikan untuk plaintif membuktikan tuntutan samannya.

Advertisement

Baljit dalam pada itu berkata, permohonan tersebut akan diserahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara secepat mungkin.

Pada 13 Okt lalu, Mohamed Apandi memfailkan saman dengan menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan bahawa pemecatan beliau sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh bekas perdana menteri itu sebagai tidak sah.

Dalam penyataan tuntutannya, Mohamed Apandi yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Peguam Negara pada 2015, juga menuntut perisytiharan bahawa defendan pertama telah menyalahgunakan kedudukannya dan bahawa defendan pertama telah mendorong berlakunya pelanggaran kontrak di antara beliau dan kerajaan Malaysia.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa wujud kegagalan pematuhan terhadap Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dalam pemecatannya dan bahawa pemecatannya adalah tidak mengikut undang-undang, dan oleh itu tidak sah.

Mohamed Apandi memohon ganti rugi khas RM2,233,599.36, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan/atau punitif, kos dan relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Advertisement


Dalam penyataan pembelaan difailkan pada 12 Nov lalu, kedua-dua defendan itu menegaskan tindakan menamatkan kontrak perkhidmatan Mohamed Apandi sebagai Peguam Negara adalah sah serta mengikut peruntukan undang-undang dan tiada penyalahgunaan kuasa oleh Dr Mahathir dalam hal tersebut.

— BERNAMA

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel