Connect with us

Jenayah

2 Anggota Polis Di Dakwa Peras Ugut, Cabul Dan Paksa Seks Oral

KOTA BHARU: Dua anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini dengan lapan pertuduhan mencabul, melakukan peras ugut dan seks oral terhadap pasangan kekasih di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini, pada 4 Disember lalu.

Kedua-dua tertuduh, Lans Koperal Mohd Hanafi Mohd Zaki, 35, dan Konstabel Mohammad Izauddin Abd Wahab, 30, didakwa bersama bagi tiga pertuduhan. Mereka turut didakwa dengan kes berasingan, iaitu Mohd Hanafi dengan dua kes, manakala Mohammad Izaudin pula tiga kes.



Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Berdasarkan pertuduhan bersama pertama, Mohd Hanafi dan Mohammad Izauddin didakwa mengarahkan mangsa lelaki berusia 20 tahun melakukan kelucahan melampau, iaitu supaya menghisap payudara seorang mangsa wanita berusia 20 tahun di kawasan kilang terbiar di lokasi berkenaan antara jam 10.45 malam hingga 12 tengah malam kejadian.

Advertisement

Pertuduhan kedua dan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa mengarahkan mangsa wanita berkenaan menghisap kemaluan mangsa lelaki serta melakukan pemerasan dengan meminta wang RM1,250 sebagai dorongan mangsa tidak dirujuk kepada pejabat Agama di lokasi, tarikh dan masa sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun jika disabitkan kesalahan dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan dengan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika disabitkan bersalah.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nor Azlinawati Mohd Arshad. Kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Mohd Firdaus Zainal Abidin dan Majdah Mohamad.

Sementara itu, dalam dua tuduhan berasingan untuk tertuduh pertama, Mohd Hanafi didakwa mencabul mangsa wanita dan mengarahkan mangsa lelaki menanggalkan pakaian sehingga bogel dengan maksud mengaibkan kehormatan mangsa, antara jam 10.45 malam hingga 12 tengah malam dalam sebuah kereta jenis Honda Civic di lokasi terbabit.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan, iaitu boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Advertisement

Bagi tiga pertuduhan berasingan, tertuduh kedua, Mohammad Izauddin didakwa mencederakan mangsa lelaki dengan menumbuk belakang telinga kiri hingga lebam, mengarahkan mangsa wanita menanggalkan pakaian hingga bogel dengan niat untuk mengaibkan kehormatan serta melakukan persetubuhan luar tabii dengan mangsa wanita.

Kejadian itu dilakukan antara 10.45 malam hingga 12 tengah malam di Jambatan Pak Nik Lah dan tempat letak kereta di sebuah masjid Padang Tembak di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali serta Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menawarkan jaminan RM20,000 kepada Mohd Hanafi dan RM30,000 kepada Mohammad Izauddin masing-masing dengan empat penjamin bagi kesemua pertuduhan.


Mahkamah menetapkan 17 Januari sebagai tarikh sebutan semula kes.

Advertisement

Kedua-dua tertuduh membayar jaminan dan mengemukakan penjamin seperti ditawarkan mahkamah.

Sumber: BH Online

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel