Connect with us

Mahkamah

Pegawai Imigresen Dipenjara 30 Hari, Denda RM4,000 Terima Rasuah

BUTTERWORTH, 14 Dis — Seorang pegawai imigresen hari ini dikenakan hukuman penjara 30 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang rasuah berjumlah RM3,060 pada 2018.

Hakim Norhayati Mohamad Yunus memerintahkan Akashah Roslan, 38, menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.



Mengikut kertas pertuduhan, Akashah yang bertugas di Jabatan Imigresen Malaysia, Bangunan Sultan Iskandar, Johor telah memperoleh suatu benda berharga tanpa suatu balasan iaitu wang RM2,160, RM100 dan RM800 daripada Mohd Azril Azizan melalui akaun simpanan CIMB milik tertuduh.

Tertuduh yang mempunyai hubungan kerja-kerja rasmi dengan Mohd Azril, dituduh melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di No.32 Jalan Mahsuri, Bandar Bayan Baru pada 22 Jun hingga 14 Sept 2018.

Advertisement

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang diwakili peguam Benjamin Tan Yi Bin memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan kerana pengakuan tertuduh telah membuktikan keinsafan dan menjimat masa mahkamah.

Tan juga memberitahu mahkamah bahawa tertuduh merupakan seorang pesakit hipertensi dan menanggung seorang isteri dan tiga anak.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) S. Selvaranjini memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana tertuduh merupakan penjawat awam dan tindakan itu telah mencalarkan imej Jabatan Imigresen Malaysia.

Selvaranjini berkata tugas tertuduh boleh dikatakan sebagai petugas barisan hadapan yang sepatutnya menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat tetapi kini telah mengkhianati kepercayaan masyarakat.

Advertisement


— BERNAMA

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel