“Rezeki Dapat Jumpa Ustaz, Allah Takdirkan Kak” – Ustaz Ebit Lew Sebak Tiada Apa Yang Tinggal, Ada Mangsa Banjir Tak Dapat Balik Kerana Rumah Dah Musnah

 179 total views,  12 views today

Pendakwah selebriti, Ustaz Ebit Lew menzahirkan rasa sedih apabila beliau mendapat tahu tentang kes sekeluarga mangsa banjir di Raub, Pahang.

Berdasarkan perkongsiannya di Facebook pagi ini, keluarga tersebut pada awalnya ditempatkan di salah sebuah Pusat Pindahan Banjir.

Namun agak menyedihkan, keluarga itu tidak dapat balik semula ke rumah asal kerana mendakwa kediaman mereka telah musnah dirempuh banjir hingga menyebabkan hilang arah tuju.



“Rumahnya semua dah musnah. Barang berniaga untuk jualan pagi semua musnah. Tiada apa lagi tinggal.

“Rumah tu dalamnya semua dah musnah. Langsung tak boleh duduk. Sampai semalam abang kakak ni menangis,” katanya dalam hantaran tersebut.

Atas dasar simpati dan tanggungjawab, beliau turut bersua dengan pihak berwajib, sekaligus mencari kediaman baharu untuk keluarga tersebut.

“Ketua kampung semalam bawa saya lawat abang ini dan tengok rumahnya. Bersama terus cari rumah. Berjumpa tuan rumah yang baik.

“Sampai waktu Maghrib, syukur terus carikan rumah sewa yang saya akan bayar sewa. Semalam siap bayar deposit semua,” katanya lagi.

Tidak cukup dengan bantuan rumah baharu yang disumbangkan, Ustaz Ebit turut ‘menghadiahkan’ mereka dengan beberapa peralatan dan barangan asas kediaman untuk keselesaan yang lebih terjamin.

“Saya hadiahkan abang kakak ini peti ais, mesin basuh, katil, kipas, pemasak nasi, dapur dan barang lain untuk keperluan berniaga.

“Abang kakak dan anak-anak tersenyum mengalir air mata. Kata mereka, ‘rezeki dapat jumpa ustaz’. Allah takdirkan kak.


“Doa akak dan abang, sabar ye. Di sebalik ujian ada rahmat Allah..” luahnya lagi.

Sumber: Ustaz Ebit Lew