Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah Antara 272 Terima Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Negeri Sembilan

 114 total views,  2 views today

SEREMBAN, 14 Jan (Bernama) — Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman mendahului senarai 272 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan ke-73 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, hari ini.

Beliau dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SNSS) yang membawa gelaran Datuk Seri.



Turut menerima darjah yang sama, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak (Exco) Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan, Ismail Ahmad dan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir menerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk

Pakar Perunding Bedah Kardiotorasik dan Jantung Kongenital, Datuk Dr Hamdan Leman adalah antara empat penerima Darjah Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Gemilang (DSTM) yang membawa gelaran Datuk.

Tiga yang lain ialah Penasihat Undang-Undang Kumpulan YTL Corporation Berhad, Datin Kathleen Chew Wai Lin, pengarah syarikat MRA Consultant Sdn Bhd, Tengku Mu’adzam Sadruddin Tengku Noone Aziz dan pakar kardiologi, Datuk Dr Tamil Selvan Muthusamy.

Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Datuk dianugerahkan kepada 20 penerima termasuk bekas Ketua Pengarah Perancangan Strategik Markas Angkatan Tentera Malaysia Ketiga, Brig Jen (B) Abdul Aziz Ahmad.

Antara lain termasuk Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, SAC Che Zakaria Othman, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Ean Yong Tin Sin, ADUN Chuah, Yek Diew Ching dan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin.


Seramai 13 individu pula menerima Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS) termasuk pensyarah USIM Prof Madya Dr Adnan Mohamed Yusoff dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohammad Faid Abd Rashid manakala bagi anugerah Darjah Tuanku Muhriz (DTM), arkitek Huang Ying How, merupakan penerima tunggal.

Sementara itu, Tuanku Muhriz turut berkenan mengurniakan Darjah Pekerti Terpilih (DPT) kepada 11 penerima; Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) (36); Setiawan Tuanku Muhriz (STM) (tiga); Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) (55), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (107); Pingat Bentara Tuanku Muhriz (BTM) (12) dan Pingat Khidmat Lama (PKL) (enam).

Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sembilan, bagaimanapun, dibatalkan susulan titah Tuanku Muhriz selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan COVID-19, yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isnin lepas.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Razali Ab Malik, dalam sidang media hari ini,  berkata kesemua penerima telah dimaklumkan mengenai penganugerahan berkenaan melalui surat rasmi.

“Gelaran ini boleh digunakan pada nama masing-masing mulai hari ini walaupun istiadat majlis itu tidak diadakan,” katanya.

Sumber: BERNAMA