Monday, December 08, 2025

Budak Lemas Dalam Tong: Bapa Tiri Pernah Didakwa Di Mahkamah Kes Pukul Isteri – Polis

February 4, 2021
1 min read

Bapa tiri kanak-kanak lelaki tujuh tahun yang ditemukan lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya, Melaka pada Jumaat lalu pernah didakwa di mahkamah majistret kerana memukul isteri pada Sept 2020.

Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali yang mengesahkan perkara itu berkata pihak berkuasa juga dalam proses melengkapkan kertas siasatan berhubung kes kanak-kanak malang itu.

Katanya polis sudah memohon lanjutan perintah reman ke atas lelaki itu bersama isterinya yang juga ibu kandung kanak-kanak itu. Tempoh reman sekarang akan berakhir esok.

“Polis mengesahkan memang suaminya pernah didakwa memukul isteri dan pihak polis juga sedang melengkapkan kertas siasatan kes ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka hari ini.



Pada 8 Sept tahun lepas media melaporkan, bapa tiri kanak-kanak tersebut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya dengan cara memukul bahagian pipi kanan menggunakan tangan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Krubong Jaya, kira-kira 12.30 tengah malam pada 3 Sept 2020. Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Jumaat lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun meninggal dunia dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya di Taman Krubong Jaya.

Kanak-kanak malang itu asalnya didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian pada kira-kira 4 petang. Namun siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh di Jasin, kira-kira 12.40 tengah hari Isnin lalu.

– Bernama