Pasangan suami isteri muda yang tular, Ahmad Faris Umar Alwi, 17, dan Nurin Irdina Mohd Muhizan, 16, menegaskan yang mereka masih suami isteri.
Ini bagi menjawab dakwaan sebuah saluran di Youtube yang mendakwa mereka sudah bercerai.
Menurut laporan Sinar Harian, Ahmad Faris Umar berkata, dakwaan tersebut sama sekali tidak berasas malah dia dan isterinya menjalani kehidupan berumah tangga dengan penuh bahagia seperti pasangan lain walaupun berkahwin di usia remaja.
“Lebih memburukkan lagi keadaan, saluran yang dikenali sebagai Maskon Channel telah menggunakan gambar ‘tumbnail’ majlis perkahwinan kami. Channel tersebut turut mendakwa saya dan isteri mempunyai hutang dengan pihak katering,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Sebelum itu pasangan suami isteri tersebut bersama keluarga hadir ke Tetuan Hasif Kumar & CO untuk memfailkan saman sivil kepada saluran berkenaan tersebut.
Menurut Ahmad Faris, fitnah tersebut secara tidak langsung telah mencemarkan imej dan meninggalkan trauma kepadanya, isteri serta keluarga apabila video tersebut meraih lebih 100,000 tontonan.
Pasangan suami isteri muda tular, Ahmad Faris Umar dan Nurin Irdina menunjukkan cincin perkahwinan mereka yang masih tersemat di jari mereka.
Katanya, satu laporan polis juga dibuat pada 26 Januari lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.
Ahmad Faris Umar berkata, laporan itu bertujuan mengambil tindakan saman sivil ke atas pemilik akaun Youtuber tersebut yang secara terang-terangan menyebarkan fitnah.
Sementara itu memetik laporan Harian Metro, ibu kepada Ahmad Faris Umar, Zalaha Hassan, 57, berkata, video tersebut menyebabkan dia mengalami kemurungan dan tertekan.
“Siapa tidak tertekan apabila rumah tangga baharu dibina itu dikatakan runtuh dan mereka bercerai, sedangkan anak dan menantu saya sedang bahagia,” kata Zalaha Hassan, ibu kepada pasangan pengantin remaja yang berkahwin hujung tahun lalu.
Lebih mengejutkan berita mengenai anaknya, Ahmad Faris Umar Alwi dan menantu, Nurin Irdina Mohd Muhizan yang didakwa sudah bercerai itu disiarkan di dalam sebuah saluran YouTube kira-kira seminggu selepas pasangan itu berumahtangga.
Selain itu dia juga mengambil ciapan Twitter milik seorang pengacara televisyen popular yang mengatakan ‘baru dua minggu dah nak bercerai sebab baru rasa tak bersedia, duit katering pun tak habis bayar lagi’.
“Pada hari sama berita itu tersebar, saya terus menghubungi selebriti itu dan meminta penjelasan mengenainya.
“Dia memaklumkan tidak mengetahui apa-apa, sebaliknya ciapannya itu bersifat menyeluruh dan tidak merujuk kepada anak dan menantu saya sebaliknya saluran terbabit mengambil kesempatan dengan mengambil ciapan serta meletakkan gambar pasangan pengantin itu.
“Tidak lama selepas itu, pihak YouTube berkenaan menghubungi saya dan meminta maaf sebelum memadamkan video sudah ditonton lebih 100,000 penonton itu.
“Kami menganggap tindakan saluran itu tidak bertanggungjawab dan hanya bermotif ingin menarik pengikut sahaja dan tidak lama selepas itu satu video permohonan maaf disiarkan di saluran terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, Maskon Channel yang memetik ciapan Twitter milik pengacara televisyen popular, Fedtri Yahya yang mengatakan ‘baru dua minggu dah nak bercerai sebab baru rasa tak bersedia, duit katering pun tak habis bayar lagi’ telah menggunakan gambar ‘tumbnail’ perkahwinan pasangan berkenaan, sekali gus merujuk perkara tersebut kepada mereka.
“Saya ingin tegaskan semua dakwaan itu tidak benar. Anak saya dan pasangannya hidup bahagia.
“Soal hutang dengan katering itu juga tidak benar kerana saya yang memasak makanan untuk kenduri tersebut bukannya ditempah,” kata Zalaha.
Sementara itu, peguam kepada keluarga berkenaan, Muhammad Hasif Hassan berkata, saman sivil itu bertujuan memberikan pengajaran kepada pemilik saluran YouTube terbabit supaya tidak menyebarkan fitnah.
Katanya, pemilik saluran itu juga perlu bertanggungjawab ke atas laporan berkaitan anak guamnya yang telah dimuat menerusi Youtube tersebut.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro
