TAWAU – Polis menahan seorang lelaki yang cuba melarikan diri selepas melakukan provokasi serta mengganggu tugas penjawat awam melakukan pemantauan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan Taman Semarak di sini pada pagi Sabtu lepas.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata suspek yang berusia 37 tahun dipercayai dengan sengaja mengekori kenderaan pasukan pemantauan Op COVID-19 sambil membuat rakaman video menggunakan telefon bimbit miliknya.
“Suspek telah mengeluarkan kata-kata yang menimbulkan provokasi terhadap pasukan pemantauan termasuk anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Angkatan Pertahanan Awam selain meninggikan suara dan enggan memberikan kerjasama apabila diminta untuk menunjukkan dokumen pengenalan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata suspek juga hampir melanggar anggota RELA ketika cuba melarikan diri, bagaimanapun dia berjaya ditahan dan bertindak agresif sewaktu berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau malah enggan menyerahkan telefon bimbit untuk diperiksa.
Katanya suspek telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan, Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, Seksyen 8(1)(e) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah dan Seksyen 90 Akta Polis 1927.
Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki mengejar kenderaan pasukan pemantauan sambil membuat rakaman video sebelum mengeluarkan kata-kata provokasi kepada anggota pemantauan.
Hazani turut menasihati semua pihak agar tidak mengadu domba sehingga menimbulkan provokasi dan mengganggu tugas penjawat awam kerana pasukan keselamatan hanya menjalankan tugas mengikut lunas peraturan serta undang-undang.
— BERNAMA
