Utamakan Ilmu Akhirat, Zul Yahya Perjelas Berhentikan Anak Sekolah

 1,024 total views,  2 views today

Bekas pelakon, Zul Yahya mengambil keputusan untuk memberhentikan anak-anaknya daripada sekolah dan memilih untuk mengutamakan ilmu akhirat.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram dan Facebooknya, pelakon yang pernah membintangi drama Pepaya itu memberitahu tindakan tersebut dirasakan paling tepat buat masa ini.

“Kami ibu bapa berhentikan anak-anak kami daripada sekolah bukan kerana tak ambil berat masa depan mereka, tetapi kami nak anak-anak kami lebih berjaya di akhirat kelak.

“Insya-Allah ilmu akhirat itu lebih penting daripada segala-gala ilmu,” ujar pelakon berusia 48 tahun itu.

Bapa kepada enam orang cahaya mata ini mengakui ada yang bertanya sama ada dia tidak kasihankah akan masa depan mereka, namun Zul Yahya berkata dia percaya pada qada’ dan qadar.



“Dunia semakin tua takkan tak nampak, sistem yang datang kepada kita hari ini luar biasa dan ramai yang rasa boleh hidup lama.”

“Saya sendiri sudah berusia 50 tahun, apa akan jadi 50 tahun akan datang. Bagaimana agama dalam diri anak-anak kita? Mampukah degree dan master menyelamatkan mereka daripada dajjal?” katanya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Zul Yahya (@zulyahya70)

Menjengah ke ruangan komen dalam Instagramnya, rata-rata netizen tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh pelakon tersebut.

Salah seorang pengikutnya dalam Instagram berkata, pelakon itu sepatutnya faham tentang konsep pendidikan pada peringkat sekolah kerana itu juga merangkumi ilmu untuk kegunaan di akhirat.

“Harapnya kita tidak salah faham dan ekstrem. Hantar ke sekolah (anak) juga merangkumi ilmu akhirat. Semua disiplin ilmu ialah ilmu milik Allah SWT dan boleh mendekatkan diri dengan-Nya.

“Tahniah guru-guru di sekolah yang mengajar bersungguh-sungguh anak murid mengenal Allah SWT,” ujar salah seorang pengguna Instagram.

Seorang lagi pengikutnya pula berpendapat bahawa pelakon itu sepatutnya tidak menghalang anaknya mendapatkan pendidikan di sekolah.

“Jangan halang anak untuk cerdik dunia akhirat supaya tak tertipu di dunia dan selamat di akhirat.

“Bahkan pusat tahfiz pun ada silibus. Kena seimbangkan,” ujarnya.

Terdahulu, Zul berkongsi pandangannya untuk tidak meneruskan persekolahan anak-anaknya di Instagram dan Facebook hingga mencetuskan pelbagai keraguan dan provokasi.

“Kami ibu bapa berhentikan anak-anak kami dari sekolah bukan kerana tak ambil berat masa depan mereka tapi kami nak anak-anak kami lebih berjaya di akhirat kelak. Insya-Allah.

“Ilmu akhirat itu lebih penting dari segala-gala ilmu,” tulisnya hingga dituduh sebagai ekstrimis agama.

Mengambil contoh daripada dirinya sendiri yang tidak punyai sijil persekolahan, Zul menegaskan rezeki akan mencurah-curah sekiranya tidak putus usaha.

“Sijil pada anak-anak pun belum tentu berikan kehidupan. Saya pun SRP tak ada, menulis pun tak pandai tapi Allahuakbar, Allah bagi rezeki macam-macam bentuk.

“Yang penting usaha, kalau ada sijil tapi malas tak guna juga.

“Kita bukan nak tolak dunia, tapi dunia ini untuk jambatan ke akhirat. Harus ditekankan pendidikan agama betul-betul dalam kehidupan anak-anak,” katanya yang turut menganggap modul pembelajaran di sekolah ‘tunggang-terbalik’.