Connect with us

Terkini

Tiga Ditahan Guna Gelaran Datuk, Datin Palsu

MELAKA, 4 Mac (Bernama) — Tiga orang termasuk sepasang suami isteri menjadi individu pertama di negara ini ditahan menurut Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017, selepas dipercayai menggunakan gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datin’ palsu, selain menganjurkan majlis makan malam persatuan elit dan Gabungan Datuk-Datuk Malaysia (GDDM).

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata kesemua mereka ditahan di Bangi, Selangor pada 30 Jan lalu bagi membantu siasatan menurut Seksyen 12(2) akta itu yang memperuntukkan hanya penganugerahan di peringkat negeri dikurniakan Sultan, Raja atau Yang Dipertua Negeri daripada 13 negeri di Malaysia diiktiraf dan boleh digunakan untuk urusan rasmi.

Katanya pasangan suami isteri berusia 49 dan 43 tahun terbabit dipercayai pengasas dan sekretariat gabungan sementara seorang lagi suspek yang berumur 57 tahun berperanan sebagai pegawai seranta gabungan.


Advertisement

Menurut beliau, majlis yang diadakan di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, Bandaraya Melaka pada Ogos tahun lepas itu dihadiri kira-kira 120 peserta dan pemantauan mendapati terdapat tetamu yang memakai pakaian istiadat serta darjah kebesaran datuk yang tidak diiktiraf.

“Siasatan awal juga mendapati suspek utama yang merupakan ahli perniagaan, telah mengetuai gabungan tersebut dan watikah serta gelaran yang diterima mereka adalah palsu dipercayai dianugerahkan oleh pihak digelar ‘Soltan Keradjaan Indragiri’ berpangkalan di negara jiran,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurut Abdul Majid, semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod sebagai penerima Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Persekutuan (DKBPP) dan Darjah Kebesaran Negeri (DKBPN).

Beliau berkata pihaknya turut mendapatkan kerjasama daripada Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya untuk pengesahan anugerah darjah kebesaran.

“Pihak kita juga telah merampas barangan seperti sijil watikah, surat kesultanan, senarai penerima darjah kebesaran dan pingat, lambang adat dan istiadat datuk serta kelengkapan pakaian istiadat dan kebesaran,” katanya.

Advertisement

Katanya siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan selepas dipercayai ada individu yang hadir pada majlis itu menggunakan gelaran Datuk yang tidak diiktiraf bagi melakukan penipuan.

Sumber: BERNAMA

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel