Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh Pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan Ikram Malaysia, Nik Khatijah Nik Mud, 32, yang ditemukan dalam keadaan leher dijerut di rumah sewanya di Taman Bangi, di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini jam 8.45 malam tadi.
“Suspek akan ditahan reman selama enam hari bermula hari ini hingga 14 Mac bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini lapor Harian Metro.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dilaporkan berkata penemuan mayat mangsa pada jam 9 pagi semalam dimaklumkan kepada polis oleh seorang lelaki melalui panggilan MERS 999 ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Nik Khatijah, 32, adalah bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berkhidmat di Ibu Pejabat IKRAM sejak 2013 sebagai eksekutif Jabatan Wanita dan kini sebagai Pengurus Jabatan Advokasi.




Sumber: Harian Metro
