Gara-gara terdesak mahu mendapatkan wang bagi melangsaikan hutang sebanyak RM5,000, seorang wanita yang juga penjual kuih warga Indonesia tergamak mengumpan jirannya supaya datang ke rumah sebelum menghentak mangsa sehingga mati.
Suspek yang berusia 39 tahun yang juga merupakan rakan senegara mangsa kemudian mengambil barang kemas yang dipakai mangsa dan menggadaikannya di sebuah premis pajak di Subang dalam kejadian di pangsapuri Angsana, Subang pada Isnin lalu.
Daifahamkan kejadian berlaku pada 4 petang ketika suspek telah menghubungi mangsa untuk meminta bantuan mengangkat anaknya kerana tangannya cedera.
Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, mayat mangsa berusia 54 tahun yang berasal dari Indonesia itu telah dililit dengan selimut dan disorok oleh suspek di bawah katil di bilik tidurnya selama sehari selepas pembunuhan sekitar jam 4 petang kelmarin.
Suspek dipercayai telah menghantuk kepala mangsa ke lantai dan menyorokkan mayat mangsa di bawah katilnya sebelum membersihkan segala kesan darah di ruang tamu rumah.

“Pada 6 petang semalam, suspek mengaku membunuh mangsa sebelum menunjukkan lokasi mayat mangsa disembunyikan di bawah katil di rumahnya pada 8 malam tadi.
“Siasatan mendapati mangsa dihentak menggunakan tangan hingga terjatuh dan suspek terus menghentaknya dan ketika kejadian, dua anak suspek yang masih kecil berada di rumah,” katanya pada sidang media, seperti dilapor Harian Metro.
Kejadian terbongkar apabila suami mangsa pulang dari kerja sekitar 7 malam mendapati pintu rumahnya tidak berkunci dan isterinya tiada di rumah manakala telefon bimbit serta barang peribadinya ditinggalkan di dalam kediaman tersebut.
Dia kemudiannya membuat laporan polis berhubung kehilangan mangsa di balai polis USJ8.
“Kali terakhir dia menghubungi isterinya adalah pada jam 3.46 petang sebelum mangsa dibunuh sekitar 4 petang pada hari yang sama.”
Suspek wanita Indonesia kemudian dibawa ke rumahnya menunjukkan mayat mangsa yang disembunyikan di bawah katil di bilik tidurnya.
Soal siasat terperinci polis mendapati suspek seorang pembuat kuih untuk dijual oleh mangsa di gerai perniagaannya berhampiran pangsapuri itu.

Suspek yang sudah berkahwin dengan lelaki berasal dari Sabah dikurniakan dua anak berusia setahun dan tiga bulan manakala mangsa mempunyai seorang anak berusia 17 tahun yang dijaga bapa saudaranya di Lembah Klang.
“Semasa kejadian kedua-dua anak suspek berada di rumah manakala suaminya tidak berada di rumah kerana keluar bekerja.
“Suspek ditangkap dan polis turut menahan suami kepada suspek berusia 48 tahun yang bekerja sebagai kru produksi untuk membantu siasatan.”
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek akan direman.
