BUTTERWORTH : Sepasang kekasih diberkas selepas polis menemui sejumlah dadah ketika mereka ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kampung Selamat, Tasek Gelugor.
Pasangan berusia 25 dan 28 tahun itu ditahan ketika menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z kira-kira jam 2 pagi selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil pemeriksaan pihak polis menemui tujuh paket syabu seberat 14.91 gram dan 12 biji pil Eramin 5 dalam beg silang yang dibawa mereka.
Menurutnya, ujian saringan air kencing dijalankan ke atas suspek lelaki yang masih bujang mendapati dia positif syabu.
“Manakala suspek wanita berstatus janda pula didapati negatif dadah.
“Melalui semakan dilakukan, lelaki itu mempunyai empat rekod jenayah lampau dan suspek wanita mempunyai dua rekod berkaitan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39(A)(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Pasangan ini mengaku bahawa dadah itu adalah milik mereka. Kes disiasat mengikut Seksyen 39(A)(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sumber: Harian Metro
