Lelaki Tembak Isteri Dan Sumbat Dalam Tong Dihukum Penjara 6 Tahun Miliki Senapang, Sebutan Kes Bunuh 18 April

 2,372 total views,  5 views today

Sebelum ini, negara dikejutkan dengan berita kematian seorang wanita yang didakwa dibunuh oleh suaminya sendiri dan mayat mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam tong air sebelum ditanam di ladang serai.

Terkini, menerusi laporan Harian Metro, pemandu jengkaut tersebut didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di atas lima tuduhan membunuh isterinya serta memiliki senjata api tanpa permit.



Tertuduh yang dikenali sebagai Hanafi Patahur Rahim, hanya menyatakan faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom. Hanafi dituduh membunuh isterinya, Noor Hasliza Alias, di sebuah rumah di Taman Sri Saujana kira-kira 3.30 pagi pada 1 Mac lalu.

Dia juga didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Rashidah turut memberitahu bahawa mahkamah menetapkan 18 April ini bagi sebutan semula kes untuk penyerahan laporan kimia, forensik dan bedah siasat.

Di samping itu, dalam prosiding yang berasingan di Mahkamah Sesyen pula, Hanafi dijatuhi hukuman penjara enam tahun terhadap empat pertuduhan iaitu bagi memiliki dua laras senapang dan memiliki peluru tanpa kebenaran. Menurut Hakim Zahillah Mohammad Yusoff, keputusan tersebut dibuat selepas suspek mengaku bersalah atas kesemua empat pertuduhan berkenaan.

Terdahulu portal berita melaporkan seorang suami tekad menembak mati isterinya dari jarak dekat menggunakan senapang angin ketika mangsa sedang tidur di rumah mereka di Taman Saujana, Isnin lalu.

Selepas membunuh mangsa, suspek yang berusia 43 tahun itu menyumbat isterinya di dalam tong plastik sebelum menanam mayat wanita berkenaan di sebuah ladang di Bandar Penawar kira-kira pukul 4.30 pagi hari yang sama.

Suspek yang bekerja sebagai pemandu jengkaut itu kemudian membuat laporan polis kononnya wanita itu hilang sebelum mayat ibu dua anak yang berasal dari Terengganu itu ditemukan tertanam di ladang terbabit.

Pendedahan jiran kepada suspek yang menembak mati isterinya dengan senapang angin ketika sedang tidur itu telah  membawa kepada pembongkaran kejadian sebenar.

Sumber: Harian Metro