Tular di media sosial sebelum ini sebuah video kemalangan struktur besi jatuh di Persiaran Alam Damai Cheras yang telah menyebabkan tiga pekerja kontraktor warganegara China maut dan seorang pemandu kereta cedera parah.
Terkini, menurut laporan Harian Metro, projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dihentikan serta-merta sehingga situasi pembinaan disahkan selamat.
Menurut Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, laluan di kawasan berkenaan juga ditutup sehingga siasatan selesai.
“Kita sudah mengarahkan kerja-kerja pembinaan dihentikan kecuali kerja-kerja menyelamat yang mungkin selesai sehingga 12 tengah malam ini. Pihak pemaju juga sudah diarahkan untuk mencari jalan alternatif memandangkan penduduk di sebuah apartment berdekatan tidak mempunyai jalan raya lain untuk masuk ke kediaman itu.”
“Jika berlaku pemasangan beam, jalan raya di sini ditutup dan tadi hanya kerja-kerja penyelenggaran dijalankan. Mangsa yang terbabit sedang melakukan penyelenggaran di situ.”
Ujar Fadillah lagi, komponen kren gantri terjatuh ketika kerja penyelenggaraan kren sedang dijalankan.
Di samping itu, Fadillah turut mengesahkan kejadian itu membabitkan kontraktor berlainan daripada kejadian yang mengakibatkan dua wanita pekerja kilang maut selepas kejadian perancah besi dalam pembinaan (SUKE) runtuh, di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pada 3 Mac lalu.
“Ketika ini pelbagai agensi termasuklah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan ( CIDB), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Pasukan Bomba dan Penyelamat akan menilai cadangan keselamatan terbaharu bagi meneruskan kerja-kerja pembinaan di situ.”
“Kita sudah mengarahkan bahagian keselamatan daripada pihak pemaju dan kontraktor untuk memberi tindakan dari sudut keselamatan dan ia akan dinilai dari oleh agensi-agensi bertanggungjawab.”
Beliau turut memberitahu bahawa setakat ini punca kejadian masih belum diketahui.
Baca: Struktur Besi Kren Terjatuh, Dua Pekerja Dilapor Maut
Sumber: Harian Metro
