Friday, December 05, 2025

Gara-Gara Engan Diperiksa, Pekerja Warga Asing Lompat Pagar

March 24, 2021
1 min read

HULU TERENGGANU – Seorang pekerja asing melarikan diri dengan melompat pagar kerana enggan menjalani pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu dalam operasi di sebuah tapak pembinaan di Kampung Pulau Kudat, di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, warga asing berkenaan akhirnya berjaya ditahan sepasukan pegawai penguat kuasa imigresen setelah gagal melarikan diri.



Foto : Jabatan Imigresen Negeri Terengganu

Pengarah Imigresen Negeri, Tuan Ungku Joha Ungku Mohamad berkata, dua pekerja asing diperiksa di lokasi berkenaan dan seorang daripadanya merupakan warga Indonesia ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Beliau berkata, operasi disertai 15 pegawai penguat kuasa itu bermula jam 8.30 pagi hingga 2 petang melibatkan tujuh lokasi pembinaan di sekitar Hulu Terengganu.

Sebahagian pekerja asing diperiksa dalam operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu di tujuh lokasi pembinaan di Hulu Terengganu.

“Seramai 11 pekerja asing ditahan dalam operasi kali ini melibatkan enam kesalahan iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah manakala lima kesalahan lagi gagal mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dengan melanggar syarat pas diberikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, dalam operasi tersebut pihak imigresen telah memeriksa seramai seramai 40 pekerja terdiri daripada 27 warga asing dan 13 warga tempatan.

Sumber: Sinar Harian