Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun menjadi mangsa apabila dia maut dipercayai ditembak oleh anggota tentera dalam kejadian yang berlaku di Mandalay, Myanmar pada Selasa.
Menurut saksi yang melihat kejadian tersebut, mangsa dikatakan ditembak di dalam rumahnya ketika pasukan keselamatan melepaskan tembakan di perbandaran Chan Mya Thazi, sebuah kawasan di pinggir bandar.
Menurut media tempatan Myanmar Now, kakak kepada kanak-kanak itu memberitahu pihak berkuasa menembak ke arah bapa mereka tetapi terkena mangsa yang berada pangkuan bapanya.
Selain itu, dua lelaki dilaporkan turut terbunuh dalam kejadian tersebut.
Setakat ini, pihak tentera tidak mengeluarkan sebarang kenyataan segera mengenai insiden terbabit.
Sementara itu, penduduk mengatakan sekurang-kurangnya terdapat seorang lagi yang terbunuh dalam tembakan yang berlaku di kawasan lain di Mandalay.
Pada masa yang sama, pertubuhan badan amal, Save the Children mengatakan pada hari Selasa bahawa kira-kira 20 kanak-kanak telah terbunuh ketika tentera meneruskan tindakan kerasnya terhadap penunjuk perasaan.
Pihak berkuasa dikatakan tidak teragak-agak untuk menggunakan kekerasan bagi menghalang demonstrasi yang dilakukan oleh rakyat terhadap rampasan kuasa tentera bulan lalu dan penahanan pemimpin negara itu, Aung San Suu Kyi pada 1 Februari 2021.
Kata pertubuhan badan amal, seramai 17 orang kanak-kanak lagi telah ditahan dalam tahanan secara sewenang-wenangnya oleh pihak tentera.
Sebelum itu, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun turut dibunuh ketika berada di rumah.
“Kami merasa ngeri bahawa kanak-kanak terus menjadi sasaran serangan maut terhadap penunjuk perasaan yang aman.
”Kematian kanak-kanak itu sangat tragis memandangkan dia dilaporkan terbunuh ketika berada di rumah, tempat di mana seharusnya kanak-kanak selamat dari bahaya.
“Fakta bahawa begitu banyak kanak-kanak dibunuh hampir setiap hari sekarang menunjukkan pengabaian sepenuhnya terhadap kehidupan manusia oleh pasukan keselamatan.
“Keselamatan kanak-kanak mesti dilindungi dalam semua keadaan dan kami sekali lagi meminta pasukan keselamatan untuk segera menghentikan serangan maut terhadap penunjuk perasaaan,” kata Save the Children dalam satu kenyataan.
Selain tahanan kanak-kanak, penunjuk perasaan lain, kebanyakan dari mereka adalah pelajar, terus ditangkap dengan sekurang-kurangnya 488 pelajar kini telah ditahan menurut anggaran terbaru dari Save the Children.
Manakala, kira-kira seramai dua puluh orang dari mereka yang ditangkap adalah pelajar sekolah menengah yang umurnya tidak diketahui, di mana boleh berusia di bawah 18 tahun, tambah badan amal itu.
Badan amal itu juga mengatakan bahawa pasukan keselamatan dilaporkan telah mengambil alih lebih dari 60 sekolah dan kampus universiti di seluruh negara.
Dalam satu kejadian yang berlaku, pasukan keselamatan dilaporkan memukul dua guru ketika memasuki sekolah dan menyebabkan kecederaan kepada beberapa yang lain.
Selama berminggu-minggu, jalan-jalan di kota dan bandar seluruh Myanmar telah menyaksikan kacau-bilau akibat peretmpuran antara pasukan keselamatan dengan penunjuk perasaan yang menuntut pemulihan demokrasi dan pembebasan Suu Kyi.
Pihak berkuasa telah menggunakan gas pemedih mata, peluru getah dan hidup untuk membubarkan penunjuk perasaan.
Sumber: Daily Mail UK
