Connect with us

Terkini

Kumpulan Jenayah Terancang Geng Nicky Lumpuh, Polis Buru Nicky Liow

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) — Polis melumpuhkan kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’ apabila menahan 68 orang dan merampas ratusan ribu ringgit wang tunai serta aset bernilai jutaan ringgit dalam 70 serbuan di sekitar Selangor dan Lembah Klang.

Menyifatkan kumpulan itu sebagai ganas dan berbahaya, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata Geng Nicky dipercayai terlibat dalam jenayah terancang antarabangsa, Macau Scam dan pengubahan wang haram.

“Dalam operasi ini, sebanyak 70 serbuan dijalankan bagi mengesan dan menangkap ahli kumpulan ini yang diketuai Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee berusia 33 tahun serta merupakan pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor.



“Kami turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 17 bersama satu kelopak peluru berisi sembilan butir peluru serta wang tunai pelbagai mata wang dianggarkan bernilai RM773,145 selain kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM6.67 juta,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini hari ini.

Advertisement

Sehubungan itu, polis kini memburu lelaki tersebut yang dipercayai masih bersembunyi dalam negara.

Mereka yang ditahan dalam operasi bermula 20 hingga 28 Mac lepas terdiri daripada 48 orang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA); 12 warga asing merangkumi 11 rakyat China dan seorang warga Myanmar yang ditahan mengikut Akta Imigresen; serta lapan rakyat tempatan yang ditahan di bawah undang-undang narkotik kerana positif ujian saringan air kencing.

Mereka yang ditahan itu termasuk dua adik Nicky bergelar ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ berusia 28 dan 30 tahun yang merupakan antara dua lelaki berstatus ‘Datuk Seri’ serta lima lelaki dan seorang wanita bergelar ‘Datuk’.

Abdul Hamid berkata antara yang dirampas pula ialah pelbagai jenis kenderaan mewah iaitu masing-masing sebuah Rolls Royce, Bentley, Porsche, BMW, tiga Mercedes, Alphard (5), Velfire (2) dan Volkswagen (2) manakala antara mata wang yang dirampas membabitkan Amerika Syarikat, England, Hong Kong, India, China, Thailand dan Singapura.

Polis juga membekukan 41 akaun bank bernilai lebih RM4 juta dan 35 unit kenderaan bernilai RM8.8 juta melibatkan 21 individu dan 16 entiti termasuk Yayasan Winner Emperor Sedunia dan Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Advertisement

“Hasil risikan pihak task force juga mendedahkan Winner Dynasty Group dan Nicky Liow disyaki mempunyai hubungan dengan elemen jenayah terancang antarabangsa “Wan Kouk Koi @ Broken Tooth,” katanya.

Abdul Hamid berkata hasil semakan pula mendedahkan penama ‘Wan Kuok Koi @ Broken Tooth telah disenarai hitam oleh pihak US Treasury pada 9 Dis lepas kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti jenayah terancang antarabangsa dan pengubahan wang haram.

Beliau berkata Broken Tooth juga mempunyai hubung kait dengan skandal yang melibatkan pelaburan saham dalam “Inix Technologies” dan mempunyai jaringan dengan elemen dadah antarabangsa “Tse Chi Lop” yang ditahan di Belanda pada 24 Jan lepas.

Abdul Hamid berkata siasatan awal polis mendapati ‘Geng Nicky’ menyasarkan pelabur dari China dengan menjanjikan pulangan keuntungan berlipat kali ganda dalam pelaburan seperti hartanah, produk kesihatan, tukaran mata wang asing dan mata wang kripto miliknya yang dinamakan sebagai ‘wincoin’ dan ‘winbitex’.

“Pelabur akan membuat pelaburan dalam aplikasi Wechat dengan menggunakan Wchat Pay dan wang itu seterusnya akan dilaburkan dalam mata wang kripto dan judi dalam talian. Dalam usaha mengeluarkan wang itu perkhidmatan ‘money changer’ dan ‘çasino junket agent’ digunakan untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata selain disiasat mengikut Kanun Keseksaan, siasatan kes itu juga dijalankan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012  (SOSMA).

Operasi Khas itu dilancarkan susulan maklumat risikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor selepas OPS Pelican 2.0 yang melibatkan aktiviti Macau Scam.

Ditanya mengenai hubungan kumpulan itu dengan kumpulan jenayah ‘14K Triad’, Abdul Hamid berkata sindiket itu mempunyai perkaitan dengan 14-K Triad yang berada di luar negara.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang turut hadir pada sidang media khas itu berkata 14-K Triad bermula dengan kumpulan Broken Tooth yang melantik Nicky Liow sebagai Presiden Persatuan HongMen History and Culture Association.

“Kesemua transaksi yang kita dapat semua masuk ke persatuan berkenaan (Persatuan HongMen History and Culture Association) yang ada perkaitan dengan 14-K Triad,” katanya.

Advertisement

Sumber: BERNAMA

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel