Tular di media sosial gambar seorang murid lelaki yang mengalami kesan berbirat di tangan kiri dan ibu mangsa mendakwa, anaknya telah dipukul oleh guru sekolah dipercayai berlaku di Alor Setar, Kedah.
Gambar-gambar yang dimuat naik di Facebook sejak jam 2.06 petang kelmarin telah menerima lebih daripada 1,300 perkongsian yang rata-rata memberi reaksi terkejut dengan kesan yang dialami oleh kanak-kanak terbabit.
Ibu kanak-kanak itu mendakwa anaknya telah ‘ditibai’ oleh guru hanya kerana gagal menyelesaikan tugasan yang diberi.
“Allahu, bergetar tangan dan badan, jatuh air mata. Cikgu tibai Danish hanya sebab tak siap kerja sekolah yang baru diberi,” tulisnya.
Berdasarkan gambar, terdapat enam kesan birat di tangan kiri Danish yang sebahagiannya masih mempunyai kesan merah dan bengkak.

Di bahagian jari tangan kiri pula, jelas kelihatan kesan luka di pelipat jari telunjuk dan jari hantu. Begitu juga dengan kesan luka kecil di dahi kiri dan pipi mangsa yang kelihatan seperti kesan cakaran.

Wanita berkenaan turut berkongsi gambar serpihan pembaris kayu yang telah pecah yang dipercayai digunakan untuk memukul anaknya.
Walaupun begitu, ramai netizen yang mempertikaikan dakwaan tersebut yang dilihat bagaikan tidak masuk akal. Ada yang menuntut si ibu tampil memberi penjelasan penuh dan tidak kurang juga yang mahu guru terbabit dalam kejadian itu tampil mempertahankan dirinya.
Difahamkan, ibu bapa mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Alor Setar dan mangsa telah dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan.


Sementara itu memetik laporan Harian Metro, polis mengesahkan ada menerima laporan berhubung seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang mendakwa dipukul guru sekolahnya di Kuala Kedah dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima laporan dibuat ibu mangsa yang berusia 30-an pada 4.36 petang hari ini.
Menurutnya, murid lelaki tahun tiga itu dipercayai mengalami kecederaan di lengan dan jari kiri, muka dalam kejadian itu.
“Berdasarkan laporan itu, ibu mangsa mendapati terdapat kecederaan pada badan dan muka anaknya ketika menjemput anaknya pulang dari sekolah.
“Mangsa memaklumkan bahawa gurunya memukulnya menggunakan pembaris kerana tidak menyiapkan kerja sekolah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ahmad Shukri berkata, proses siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Sumber: Facebook Puan Eda Ni, Harian Metro