Connect with us

Hiburan

Ingkar SOP: Neelofa, Suami Serta 20 Ahli Keluarga Dikompaun RM60,000

Selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dikompaun RM20,000.00 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Suami Neelofa, Muhammad Haris Mohd Ismail pula dikompaun RM10,000.00, juga tanpa diskaun, atas kesalahan melanggar kebenaran rentas negeri.

Manakala 20 orang anggota keluarga Neelofa yang hadir dalam majlis perkahwinan itu dikompaun masing-masing RM1,500 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal.



Memetik Malaysia Gazette, tiada sebarang diskaun dibenarkan untuk Neelofa dan ahli keluarganya yang terlibat kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Advertisement

Menurutnya, semalam, kertas siasatan kes perlanggaran SOP PKPB majlis perkahwinan Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor telah diterima dari pejabat Peguam Negara.

“Dalam keputusan kertas siasatan itu, Peguam Negara mengarahkan supaya Neelofa dan ahli keluarganya dikenakan kompaun di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No. 4) 2021.

“Noor Neelofa Mohd Noor dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 (tiada diskaun dibenarkan) bagi dua kesalahan iaitu selaku penganjur telah gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP Penganjuran Majlis Sosial PKPB apabila gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung.

“Kesalahan kedua adalah melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan yang sama memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran yang diberikan oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Zainal, suami Neelofa, Muhammad Haris Mohd Ismail dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 (tiada diskaun dibenarkan) kerana melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan yang sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran yang diberikan oleh pihak polis.

Advertisement

Dalam pada itu, kesemua ahli keluarga Neelofa juga tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang.

“Seramai 20 orang ahli keluarga Neelofa dikenakan kompaun sebanyak RM1,500, seorang yang berjumlah RM30,000 kerana gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung.

“Semua yang terlibat akan dikeluarkan kompaun hari ini dan jumlah keseluruhan kompaun yang dikenakan ke atas Neelofa dan kesemua ahli keluarganya dalam kes ini adalah sebanyak RM60,000.

“Justeru, pihak PDRM menasihati orang ramai supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan kegagalan mematuhi perintah ini membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa,” tegasnya.

Sumber: Malaysia Gazette

Advertisement

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel