Wednesday, December 10, 2025

Tak Pernah Jalan Tanggungjawab Sebagai Bapa, Perasaan Ibu Ralat Apabila 90% Dari Harta Arwah Anak Dapat Pada Bekas Suami

May 23, 2021
1 min read
Close up Mother holding hands Asian female newborn baby and sunlight in the morning. Cute little girl three weeks old. Health, care, love, relationship concept.

Sesebuah keluarga itu pasti diuji dengan pelbagai jenis ujian malah setiap daripada mereka juga mempunyai jalan cerita yang berbeza-beza. Seperti kisah yang dikongsikan oleh seorang peguam yang dikenali dengan nama Nor Zabetha menceritakan ‘masalah’ yang dihadapi oleh seorang wanita selepas kematian anak tercinta.

Berdasarkan perkongsian di Facebook, peguam Nor Zabetha memaklumkan wanita yang bergelar ibu ini telah lama bercerai dengan suami sejak anak mereka masih kecil lagi. Malah, sudah bertahun-tahun, mereka langsung tidak mendengar khabar lelaki itu bahkan dia juga tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa dengan memberikan nafkah.



Akan tetapi, setiap bulan wanita ini akan membuat simpanan untuk anak tercinta termasuklah simpanan ASB, membelikan insurans, barang kemas dan sebagainya. Tetapi siapa sangka, anak tercinta telah pergi menghadap Ilahi ketika berusia 15 tahun akibat sakit.

“Si bapa, telah berkeluarga dan berkahwin lain dan mempunyai seorang anak dari perkahwinan ini. Begitu juga si ibu ini dan mempunyai seorang lagi anak dari perkahwinan yang baru.”

“Kerana kematian si anak, jadi ibu ini bertanya kepada Ustaz, sama ada harta anak ini akan perlu diberikan secara Faraid. Sudah tentu jawapannya ya.”

Wanita ini kemudian bertanya kepada peguam Nor Zabetha mengenai harta dan pembahagian. Selepas Nor Zabetha merujuk kepada Peguam Syarie, mereka memaklumkan untuk situasi seperti ini, berdasarkan pembahagian Faraid, si bapa akan mendapat 5/6 daripada bahagian keseluruhan si anak manakala si ibu akan mendapat 1/6.

“Kami tahu, pasti ralat perasaannya. Yang membuat simpanan si ibu, yang membelikan insurans si ibu, yang membelikan barang kemas juga si ibu. Si bapa pula bukan kata tidak beri nafkah, melawat atau bertanya khabar pun sudah bertahun lamanya diabaikan.”

“Jadi pastilah ralat perasaannya, andai pampasan 5/6 ataupun lebih kurang 90% itu kepada bapa yang tidak pernah mengambil tahu hal anak sekalipun.”

Dalam keadaan yang hiba lagi sayu itu, peguam ini sempat memberi kata-kata semangat selain berharap agar si bapa akan terbuka hati untuk menyedekahkan kesemua bahagiannya kepada si ibu. Hal ini kerana, si ibu adalah insan yang berhak kerana dia bertanggungjawab dalam membuat simpanan si anak dan wang itu semua adalah hasil titik peluhnya sendiri.

“Saya rasa itu yang sepatutnya bertahun-tahun si ibu bukan sahaja menjalankan tanggungjawab ibu dan dia juga sebagai bapa. Memberi nafkah, tempat tinggal, baju, makan dan pakai, membuat simpanan dan insurans supaya kehidupan anak terjamin.

Terlepas begitu sahaja tanggungjawab si bapa dan jika masih mahu juga bahagiannya. Maka saya berpandangan itu kejam.”

Sementara itu, Nor Zabetha sempat menasihati orang ramai supaya jadikan perkara ini sebagai pengajaran buat semua. Bukan itu sahaja, aturlah segala simpanan, harta dan nama sebaiknya supaya tidak akan terjadi sebarang masalah kelak.

Sumber: Nor Zabetha

HANGAT MINGGU INI

Tabungan Haji Masih Utuh Walaupun Berlumpur, Pasangan Ini Luah Rasa Syukur Selepas Banjir

ACEH – Tular di media sosial apabila sepasang suami isteri berkongsi detik

Dua Remaja Ditahan Selepas Aksi Basikal Lajak Tular Di Media Sosial

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Polis menahan dua remaja lelaki selepas video