Wednesday, December 10, 2025

Peras Ugut Warga Emas Dua Ringgit, Buruh Binaan Mengaku Bersalah

June 8, 2021
1 min read

Seorang pemuda mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, terhadap dakwaan melakukan pemerasan terhadap seorang wanita warga emas dengan mendatangkan ketakutan, pada April lalu.

Tertuduh, Muhamad Fikrianisfatullah Mohd Azmi, 27, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibaca di hadapan hakim, Ahmad Bazli Bahruddin.



Mengikut pertuduhan, tertuduh itu didakwa melakukan kesalahan terhadap wanita berusia 63 tahun itu dengan mengugut akan mencederakan mangsa serta-merta supaya diserahkan kepadanya wang bernilai RM2.

Kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh, jam lebih kurang 4.35 petang, pada 5 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry. Namun mahkamah menetapkan 6 Julai depan untuk tarikh sebutan hukuman.

Sementara itu dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Muhamad Fikrianisfatullah, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan mencuri sebuah motosikal jenis Honda EX5 di hadapan sebuah rumah Kampung Pulau Gadong, Jalan Kuala Besar, jam tiga petang, pada 17 April lalu.

Pengakuan itu dilakukan di hadapan majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan dan tertuduh diwakili peguam bela dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd Amin.



Ariyani kemudiannya memohon mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 memandangkan tertuduh bekerja sebagai buruh dengan gaji RM50 sehari.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Julai depan bagi sebutan semula kes. – Malaysiakini

HANGAT MINGGU INI

Ahli Parlimen Padang Serai Didakwa Subahat Kes Rasuah RM400,000

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Padang Serai Datuk Azman Nasrudin hari ini

Pengasas eHATI Didakwa Lari ke Negara Asia Tenggara Sehari Sebelum Pertuduhan

KUALA LUMPUR – Pengasas program eHATI bersama suaminya dipercayai melarikan diri ke