Tiga lelaki warga Yaman dikenakan hukuman mati di dataran awam negara berkenaan selepas disabitkan kesalahan membunuh kanak-kanak.
Menurut Daily Mail, tertuduh yang masing-masing berusia 40, 38 dan 33 tahun dipakaikan baju penjara berwarna biru sebelum dibawa ke Dataran Tahrir di Sana’a pada Rabu.
Mereka kemudiannya disuruh meniarap dalam sebelum ditembak mati menggunakan senjata raifal AK-47 sambil disaksikan ratusan orang awam.
Mayat kesemua mereka kemudiannya dibalut ke dalam karpet dan dibawa pergi.
Tambah portal itu, hukuman ini merupakan hukuman awam pertama diadakan di Sana’a sejak Ogos 2018 selepas pemberontak disokong Iran menembak tiga lelaki dan menggantung mayat mereka pada kren atas tuduhan merogol dan membunuh kanak-kanak.
Tertuduh berusia 40 tahun telah disabitkan kesalahan atas tuduhan membunuh tiga anak perempuannya yang masing-masing berusia 7, 12 dan 14 tahun pada Jun 2019.
Tertuduh didakwa mengaku telah mencekik dan melemaskan anak-anaknya di dalam tangki air apabila isterinya meninggalkan rumah mereka selepas pergaduhan.
Dua lagi lelaki telah dituduh membunuh dan merogol seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun.
Sumber: Daily Mail