Connect with us

Pilihan Editor

Ahli Parlimen Menghadap Agong Hari Ini Untuk Sahkan Akuan Bersumpah – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) — Sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini adalah untuk mengesahkan akuan bersumpah yang menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen yang dicalonkan sebagai perdana menteri.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ia bagi membolehkan Seri Paduka menentukan sama ada akuan bersumpah berkenaan dibuat secara sukarela atau lain-lain.

“Kalau saya sendiri, saya sukarela cadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri dan saya yakin dengan keupayaan beliau.

“Saya difahamkan sebelum ini hanya kumpulan yang melebihi paras kemenangan sahaja yang dijemput (ke Istana Negara) dan mereka yang menyokong calon kedua daripada maklumat yang saya ada, mereka tidak dijemput menghadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita di lobi Menara Dato Onn hari ini.

Advertisement

Terdahulu, sekumpulan Ahli Parlimen UMNO termasuk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menaiki bas menuju ke Istana Negara bagi menghadap Al-Sultan Abdullah.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata sesi menghadap Seri Paduka dilakukan secara berperingkat dengan kumpulan pertama pada pukul 10 pagi, kedua pada 11.10 pagi, manakala kumpulan ketiga pada 2 petang, keempat 3.10 petang dan kumpulan kelima pada pukul 4.20 petang.

Ahmad berkata beliau mendapat undangan untuk menghadap Seri Paduka malam semalam menerusi Setiausaha Dewan Rakyat.

“Saya juga diberikan satu senarai oleh Speaker Dewan Rakyat pagi ini, sejumlah 114 Ahli Parlimen dijemput menghadap,” katanya.

Pada Selasa (17 Ogos), Ahli-ahli Dewan Rakyat diminta menyerahkan satu surat akuan bersumpah untuk menamakan seorang calon perdana menteri kesembilan melalui notis yang ditandatangani Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

Advertisement

Notis berkenaan bagi membolehkan seorang daripada mereka yang mempunyai kepercayaan majoriti dilantik sebagai perdana menteri susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Ogos.

Surat akuan itu perlu diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya sebelum 4 petang semalam.

Sumber: BERNAMA

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel