Connect with us

Pilihan Editor

Ismail Sabri TPM Paling Cepat Dilantik PM

Tidak sampai dua bulan mengisi jawatan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab besar sebagai pemimpin nombor satu negara.

Pelantikan Ahli Parlimen Bera itu adalah bagi mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri kelapan pada 16 Ogos lepas susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Ia berikutan penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin, yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Parti Bersatu.

Ismail Sabri, 61, pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Malaya (UM) itu dilihat layak menyandang jawatan berkenaan dengan kualiti kepimpinan dan pengalaman luas yang dimilikinya selama bergelar ahli politik dan pentadbiran kerajaan.

Advertisement

Beliau yang juga Naib Presiden Umno menganggotai barisan Jemaah Menteri sejak 2008 sehingga 2018, sebelum kembali semula pada Mac tahun lepas, selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ismail Sabri diberi kepercayaan untuk memegang portfolio Menteri Pertahanan selain diberi tanggungjawab sebagai Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) bagi menangani aspek bukan kesihatan situasi Umno-19 negara.

Sepanjang lebih setahun menjalankan amanah tersebut, Ismail Sabri disifatkan tegas serta cukup prihatin dengan permasalahan rakyat selama pandemik melanda negara.

Ia dibuktikan dengan memajukan isu-isu rakyat tersebut ke dalam Mesyuarat Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan perdana menteri seterusnya membuat keputusan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ismail Sabri dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 7 Julai lepas dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Advertisement

Sebelum ini, Ismail Sabri pernah memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan pada Mac 2008 hingga April 2009, sebelum beralih kepada tugas sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada April 2009.

Pada Mei 2013 hingga Julai 2015, beliau dilantik menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum berlakunya rombakan Kabinet yang menyaksikan beliau kemudiannya memegang tugas sebagai Menteri, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Antara inisiatif terkenal yang dilaksanakannya ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani termasuklah ‘jihad memerangi orang tengah’, selain memperkenalkan inisiatif ‘MARA Digital’, supaya golongan bumiputera tidak ketinggalan dalam perniagaan dalam bidang teknologi komunikasi maklumat, ketika menggalas tugas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Ismail Sabri memulakan karier sebagai peguam pada 1985 selain pernah menggalas tugas sebagai Pengarah Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) dan Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.

Anak kelahiran Temerloh, Pahang itu berkahwin dengan Datin Seri Muhaini Zainal Abidin pada 1986 dan dikurniakan tiga anak lelaki serta seorang anak perempuan.

Advertisement

Beliau mula bergiat aktif dalam politik pada 1987 sebagai Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Temerloh, sebelum dilantik Ketua Penerangan bahagian setahun kemudian sebelum dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Temerloh pada 1993.

Pada 1995 beliau bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian, dan Pelancongan (ketika itu) Datuk Sabaruddin Chik, sebelum memegang jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh dan tiga tahun kemudiannya sebagai Ketua Umno bahagian itu pada 2001.

Pada Mac 2004, beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) bagi kerusi Parlimen Bera dan menewaskan Ab Wahab Ismail dari PAS dengan majoriti 4,470 undi, manakala PRU ke-12 pada Mac 2008 juga menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Aliman, juga dari PAS dengan majoriti 3,821 undi.

Pada Ogos 2008, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Bera dan pada Mac 2009, beliau terpilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno penggal 2008/2011 sebelum sekali lagi pada penggal 2013/2016.

PRU ke-13 pada Mei 2013 dan PRU ke-14 pada Mei 2018, pula menyaksikan beliau terus mempertahankan kerusi Parlimen Bera dalam pertandingan tiga penjuru apabila menewaskan Zakaria Abdul Hamid dari PKR dan calon Bebas dalam kedua-dua pilihan raya itu.

Advertisement

Pada Julai 2018, beliau dipilih sebagai Naib Presiden Umno bagi penggal 2018/2021 dan pada 2018 sehingga Mei 2019, beliau dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor.

Pada Mac 2018 pula beliau dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-14, dan kini beliau menjawat kerusi Naib Presiden Umno bagi penggal 2018/2021.

– Bernama

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel