Connect with us

Sukan

Adam Bakal Buat Penampilan Sulung Bagi Saingan Moto2 Di Silverstone

Pelumba Malaysia Adam Norrodin bersedia untuk membuat penampilan sulung dalam saingan Moto2 bersama pasukan Petronas Sprinta Racing sebagai pengganti Jake Dixon pada perlumbaan Grand Prix (GP) Britain hujung minggu ini.

Penunggang berusia 23 tahun itu, yang kini bertanding pada Kejohanan CEV FIM dan kini menghuni tangga kelima dalam kedudukan Moto2 setelah meraih tiga podium, akan menjadi pengganti pelumba Britain itu di Litar Silverstone.

Dixon mengosongkan tempatnya susulan dinaikkan ke kelas perdana bersama pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing menggantikan Cal Crutchlow, yang dipanggil bagi menggantikan Maverick Vinales dalam pasukan Yamaha.

Crutchlow sendiri dibawa masuk pada pertengahan musim sebagai pengganti pelumba Itali, Franco Morbidelli, yang semakin pulih daripada pembedahan lutut kiri pada hujung Jun lalu.

Advertisement

Adam, yang membuat penampilan sulung dalam saingan Moto3 pada 2016 bersama pasukan yang ketika itu dikenali sebagai SIC Racing Team selama tiga musim, berjaya merangkul tujuh kedudukan 10 teratas, termasuk tangga kelima pada GP Argentina 2018 selain mencatat pusingan terpantas di GP Malaysia pada 2017.”Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata apa yang saya rasa untuk kembali menyertai kejuaraan dunia di Silverstone, tetapi saya amat gembira dan tidak sabar untuk beraksi. Ia satu penghormatan besar.

“Saya akan cuba melakukan sebaik mungkin dan saya amat teruja untuk beraksi dalam saingan Moto2 di GP Britain,” kata pelumba berasal dari Johor itu dalam satu kenyataan dikeluarkan pasukannya.
Sementara itu Prinsipal Pasukan, Datuk Razlan Razali berkata, ia peluang yang tepat pada masanya bagi Adam untuk terus berkembang dan membina penanda aras bagi dirinya dalam bersaing dengan pelumba lain pada kejuaraan dunia Moto2.

“Adam telah menunjukkan prestasi yang baik dalam kejohanan CEV FIM, apabila beliau ketika ini menduduki tangga kelima dan meraih beberapa podium tahun ini.

“Beliau berhak mengambil kelebihan susulan kekosongan tempat dalam Moto2 selepas Dixon dinaikkan taraf dan kami tidak sabar untuk melihat beliau beraksi bersama pasukan ini di Silverstone.
“Inilah objektifnya memiliki struktur seperti kami dan apabila situasi sebegini, kita dapat menempatkan bakat muda Malaysia ke dalam pasukan.

“Lebih-lebih lagi apabila GP Malaysia dibatalkan, ini mungkin satu-satunya masa pada tahun ini buat peminat Malaysia menyaksikan seorang lagi pelumba negara beraksi dalam Moto2,” katanya.

Advertisement

Razlan berkata mereka tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada Adam sebaliknya pelumba itu boleh menimba pengalaman berguna.

-BERNAMA

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel